Selamat Datang

Selasa, 1 Mei 2012

Polis sepak tag media saya - Shaua Fui

Merdeka Review, 01 Mei 2012
Assistant Editor MerdekaReview (edisi bahasa Cina),  Chen Shaua Fui telah membuat laporan polis bahawa dirinya dikasari anggota polis ketika membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0.
Meskipun telah menyatakan identitinya sebagai seorang wartawan, namun Chen Shaua Fui tidak dikecualikan daripada dikasari.

Menurut Chen Shaua Fui (gambar kiri, sebelah kiri), empat orang anggota polis menuju ke arahnya apabila beliau menangkap gambar di tempat kejadian di mana polis menangkap orang.  Anggota polis tersebut cuba merampas bagnya.  Tag media yang dipakai pun ditarik sehingga putus.  Kemudian tag itu disepak oleh polis.Chen berkata, tujuannya membuat aduan polis adalah supaya polis yang mengasarinya diambil tindakan.  Chen menegaskan bahawa polis seharusnya menjamin keselamatan pengamal media ketika menjalankan tugas, bukan mengugut dan mengancam wartawan di sebaliknya.

Beliau menggesa agar polis mengambil tindakan segera terhadap polis yang mencederakan pengamal media pada 28 April 2012, untuk menunaikan janji kerajaan yang mahu mewujudkan ruang media yang bebas.

Tidak kurang pengamal media yang tercedera ketika membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.  Antaranya jurugambar dari Guan Ming Daily, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily dan Oriental Daily.  Wartawan media lain turut dikasari, sehingga ada yang cedera parah.

Yang berikut adalah kandungan aduan polis yang dibuat oleh Chen Shaua Fui pada 29 April 2012:

"Pada 28 April 2012, lebih kurang pukul 7.20 malam, semasa saya bertugas di Jalan Hang Lekiu, berdekatan dengan Segi College, bertentangan dengan Hussain Cafe, saya nampak lebih daripada sepuluh anggota polis yang berpakaian seragam sedang membuat tangkapan di Hussain Cafe.

Saya pun berdiri di sana untuk menangkap gambar, beberapa daripada kumpulan anggota polis tersebut telah nampak saya dan berjalan menuju ke arah saya.

Empat orang anggota polis lelaki telah menuju ke arah saya dan saya telah mengatakan saya adalah seorang wartawan, dan anggota polis tersebut, seorang telah memegang tangan kiri, seorang lagi memegang tangan kanan saya, seorang lagi cuba merampas bag saya.

Saya memegang kamera saya di tangan kanan dan telefon bimbit di sebelah kiri saya, saya menanya kepada salah seorang anggota polis bahawa adakah saya ditangkap, tetapi beliau tidak memberi apa-apa jawapan.

Lepas itu, mereka cuba merampas kamera saya, dan tag media saya yang dipakai dengan tali telah ditarik putus dan tag media saya telah terjatuh di atas lantai, salah seorang anggota polis telah menyepak tag media tersebut ke sebelah saya, saya berjaya membebaskan diri daripada genggaman anggota polis tersebut, dan pergi mengutip tag media saya.  Lepas itu,anggota polis tersebut telah meninggalkan tempat tersebut.

Tujuan saya membuat laporan ini adalah ingin menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap kekerasan yang dilakukan oleh anggota polis tersebut.  Ini adalah kerana sebagai seorang wartawan saya berdiri di tempat kejadian adalah semata-mata untuk menjalankan tugas."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails