Selamat Datang

Khamis, 10 Mei 2012

Sudahlah dibelasah, nak solat tidak dibenarkan

Muhammad Faizal, 10 Mei 2012
SHAH ALAM, 10 Mei: Ahmad Shukri Kamarudin, 22, memberitahu beliau bukan sahaja dibelasah dengan teruk sehingga mendapat kecederaan di muka tetapi tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.


Ahmad Shukri yang ditemui Harakahdaily turut menyatakan pada hari kejadian himpunan Bersih, beliau telah ditangkap pada jam 7 malam di sekitar Masjid India.

Namum ketika itu beliau sedang berehat serta tidak mempunyai apa-apa bukti yang mengatakan beliau menyerta himpunan tersebut, malah ketika itu sudah ramai orang awam datang untuk membeli belah di kawasan berkenaan.


"Saya berhenti rehat di kawasan tersebut bersama adik saya sekitar jam 7 malam dan ketika itu peserta himpunan telah bersurai malah terdapat orang ramai yang menghampiri kawasan tersebut untuk membeli belah.

"Namun ketika saya sedang rehat, saya perhatikan terdapat sekumpulan polis lebih kurang dua puluh orang sedang berjalan di kawasan tersebut dan saya beranggapan segalanya telah selesai," jelasnya yang ditemui di Kota Kemuning.

Tambahnya lagi, tetapi jangkaan itu meleset apabila kumpulan polis tersebut telah menghampirinya dan terus memukulnya serta adiknya.

"Saya dibelasah teruk oleh sekumpulan sepuluh orang polis begitu juga adik saya, ditumbuk mahupun ditendang di badan.

"Malah ketika saya jatuh mereka turut menendang muka saya menyebabkan cermin mata saya patah dan lebam di bahagian muka serta kecederaan pada bahagian hidung," cerita beliau.

Ahmad Shukri berkata, keganasan polis tidak hanya sewaktu beliau ditangkap malah beliau terus dipukul apabila melintasi mereka.

"Kebanyakan polis yang sedang duduk di tepi-tepi jalan juga tidak melepaskan peluang memukul saya, malah cacian juga dilemparkan.

"Sepanjang saya ke Kelab Diraja Selangor dari Masjid India sepanjang itulah saya terus dipukul sehinggakan beberapa gigi saya telah longgar akibat ditumbuk," katanya.

Beliau turut didesak oleh pihak polis yang mahu mengetahui berapa ringgit dibayar bagi menyertai himpunan tersebut.

Katanya, jika mengatakan tidak dibayar dan tidak menyertai himpunan beliau terus dipukul kerana polis tidak berpuashati dengan jawapan itu.

Menurutnya lagi ketika sampai ke Kelab Diraja Selangor beliau terus dipukul dengan teruk sehinggalah ditempatkan bersama-sama tahanan yang lain.

"Saya teruk dipukul dengan kejam tanpa belas kasihan tetapi kekejaman mereka tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga tidak dapat menunaikan solat Maghrib sedangkan ketika itu waktu Maghrib akan habis.

"Kecewa dengan sikap polis yang beragama Islam kerana tidak peka dalam soal ibadat, mereka sepatutnya beri peluang bukan menafikan," sambungnya lagi.

Beliau yang cedera di muka telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), kecederaan di hidung menyebabkan darah terus keluar dua hari selepas himpunan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails