Selamat Datang

Ahad, 13 Mei 2012

Piala FA: Kelantan isytihar 20 Mei cuti peristiwa

Mohd Nor Yahya, 13 Mei 2012
KOTA BHARU, 13 Mei: Kelantan mengisytiharkan 20 Mei adalah cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara pasukan negeri itu dengan Sime Darby pada 19 Mei ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood pada sidang media di bilik MMKN, Kota Darulnamin di sini, petang ini.


Ini, katanya bagi memberi sokongan dan memastikan keselamatan penyokong The Red Warriors menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby itu.


Jelasnya, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju untuk member cuti peristiwa pada Ahad, 20 Mei di mana perbincangan awal telah diadakan antara beliau dan Tuan Guru.

“Tuan Guru begitu prihatin terhadap perkembangan sukan bolasepak Kelantan dan di atas faktor keselamatan beliau telah bersetuju untuk memberi cuti peristiwa pada Ahad, 20 Mei nanti,” ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata walaupun perlawanan tersebut akan diadakan Sabtu ini, namun bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Kelantan yang ingin ke Kuala Lumpur sudah boleh membuat perancangan awal tanpa tergesa-gesa kerana kerajaan telah mengisytiharkan cuti tersebut lebih awal lagi.

Mengulas harga tiket yang agak mahal jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas, Abdul Fattah berkata kerajaan juga telah menyarankan kepada FAM dalam hal itu, namun ia terpulang kepada pihak berkenaan untuk menaikkan harga tiket atau mengekalkannya.

“Kita sedar, minat rakyat Kelantan terhadap sukan bolasepak amat mendalam dan kenaikan harga tiket tersebut sedikit sebanyak terjejas juga, namun kerajaan amat menggalakkan rakyat negeri ini datang beramai-ramai ke Kuala Lumpur menyaksikan Piala FA ini,” katanya lagi.

Sementara itu, sebagai tanda sokongan media Kelantan terhadap perlawanan akhir tersebut, pihak Exco sukan turut menyampaikan jersi dan beg kepada petugas media yang hadir di sidang akhbar tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails