Selamat Datang

Ahad, 8 Ogos 2010

Hadi akui PAS tidak boleh perintah dengan satu kaum



August 08, 2010

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyedari bahawa parti itu tidak boleh memerintah Malaysia dengan undi hanya daripada satu kaum, sebaliknya perlu mengambil kira sokongan masyarakat majmuk.

Malah Hadi memuji sikap terbuka DAP dan jelas yang ditunjukkan selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika memeterai Dasar Bersama Pakatan Rakyat hujung tahun lalu.

Oleh itu Hadi berkata, kedudukan masyarakat majmuk dalam negara ini perlu diberi perhatian serius dan Islam ada penyelesaiannya sendiri.

“Malah PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi iaitu dengan PAS mengambil titik persamaan yang halal dikatakan halal dan yang haram tetap ditegaskan haram. Ini PAS tidak berganjak.

“Dalam perkara ini, Umno tidak mempeduli soal halal dan haram, dalam kerjasama dia dalam BN.

“Umno tidak ada batasan sebab dia tidak ada fiqah politik dalam muamalah dia dengan orang bukan Islam,” kata beliau dalam temu bual bersama Harakah, yang disiarkan dalam edisi terbaru.

Sambil berkata PAS menunjukkan sikap yang ikhlas, Hadi menambah, “kita tegas dengan orang bukan Islam, hasil daripada ini kita dapat lihat impak yang lebih baik setelah memerintah Kelantan sejak 1990 dan Terengganu pada 1999.”

Hadi mengetuai PAS sejak 2002 berkata, partinya telah berjaya melakukan anjakan paradigma dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“Berduyun-duyun orang datang untuk menjadi ahli PAS.

“Perubahan sudah berlaku dan kefahaman fiqah politik sekali gus berlaku menunjukkan kemajuan dalam PAS,” kata Ahli Parlimen Marang dan bekas menteri besar Terengganu ini.

Hadi menjelaskan, melalui fiqah politik inilah, PAS mengambil pendekatan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS iaitu menerima keahlian orang bukan Islam bersama dengan parti itu.

“Yang kedua mengadakan persefahaman dengan parti lain tanpa kita memaksa mereka meninggalkan ideologi mereka, dan mereka tidak boleh meminta untuk bertolak ansur dengan ideologi kita (PAS). Kita ada sikap kita sendiri,” katanya.

PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan PKR pada pilihan raya umum 2008, sekali gus mencatatkan kemenangan bersejarah menguasai lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.

Prestasi itu membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat pada April 2008.

Menjawab soalan dakwaan Umno bahawa PAS menjadi boneka DAP, Hadi memuji sikap terbuka DAP dalam menjalin kerjasama dengan pihaknya menerusi Pakatan Rakyat.

Hadi merujuk sikap tolak ansur DAP bagi membolehkan PAS merajui kerajaan negeri Kelantan, Kedah dan Perak selepas pilihan raya umum ke-12, dan resolusi menerima Islam sebagai agama rasmi pada konvensyen sulung Pakatan Rakyat Disember lalu.

“DAP ikut serta dalam konvensyen ini. Saya rasa ini satu sikap yang sangat terbuka dan jelas.

“Malah terbukti lagi semasa pilihan raya (kecil) Bukit Gantang... PAS menang.

“Kita tunjukkan bukti pilihan raya di Sibu pula selepas itu,” katanya.

Hadi menambah, sekiranya Umno-BN menuduh PAS diperalat oleh DAP, maknanya parti Islam itu bekerja untuk DAP di Sibu.

“Saya juga boleh katakan Umno-BN juga diperalat oleh parti komponen mereka.

“Siapa yang bertanding di Sibu? Bukan Umno yang bertanding? Bukan PBB yang bertanding? Adakah Umno-BN diperalatkan,” katanya.

Oleh itu jelas beliau, ini bukan masalah alat dan diperalat tetapi PAS mesti menunjukkan kesetiaan dalam bekerjasama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails