Selamat Datang

Ahad, 22 Ogos 2010

Pengetua rasis: Umno BN patut dipersalahkan



Written by Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 0gos: Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah pihak yang mesti dipersalahkan atas kenyataan perkauman dan menghina yang didakwa telah diucapkan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya, Johor pada 12 Ogos lalu, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Umno dan BNlah pihak yang tidak henti-henti mengapi-apikan kebencian perkauman sama ada melalui agensi-agensi kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan Umno BN atau media-media arus perdana yang dikuasai mereka.

Pengetua itu didakwa menyebut bahawa pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai oleh pelajar India seperti rantai anjing.

"Apa yang berlaku itu adalah akibat dari perbuatan Umno dan BN yang mengapi-apikan perkauman. Ramai rakyat yang termakan hasutan perkauman Umno BN dan tidak boleh dinafikan pengetua itu adalah salah seorang dari mereka.

"Dia berani menghamburkan kata-kata sedemikian mungkin kerana beliau merasa yakin beliau tidak akan diapa-apakan kerana beliau melihat para pemimpin Umno termasuk pegawai khas Perdana Menteri yang dilaporkan berbuat demikian pun terlepas begitu sahaja," kata Salahuddin sambil menuntut supaya dihentikan hasutan-hasutan perkauman termasuk dalam program-program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah kerajaan BN seperti Biro Tatanegara (BTN) dan media-media yang dikuasai oleh Umno BN.

Sebelum ini, kenyataan perkauman seperti itu dilaporkan telah diucapkan oleh pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Datuk Nasir Safar telah menimbulkan isu perkauman apabila dilaporkan berkata, orang Cina dan India sekarang kekal sebagai pendatang di bumi Malaysia.

Beliau telah dilaporkan menyifatkan pendatang India sebagai "pengemis" dan pendatang Cina sebagai "pelacur".

Salahuddin juga mempertikaikan sikap Ketua Pemuda Umno yang juga Pengerusi Pemuada BN, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan mengecam keras kenyataan itu.

"Umno dan BN bukan sahaja tidak mahu mengambil tanggung jawab dan berlepas tangan malah boleh pula mengecam pengetua itu. Apa yang dilakukan oleh pengetua itu adalah akibat cetusan api perkauman Umno BN.

"Mengapa biarkan beliau seorang diri menanggung kecaman sedangkan pihak yang bertanggungjawab mencetuskan api perkauman berlepas tangan dan berlagak bersih pula dari perbuatan mengapi-apikan perkauman?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.

Bercakap bagi pihak Pemuda BN, Khairy mengecam keras kenyataan pengetua itu sambil menyifatkan kenyataan itu menonjolkan kejahilan pengetua berkenaan berhubung isu kewarganegaraan serta aspek ritual agama lain di negara ini.

"Sekiranya benar ia terjadi, maka beliau hendaklah didakwa bagi satu hukuman yang keras, di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau seumpamanya, kerana ia langsung tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat majmuk di negara ini," tegasnya.

Salahuddin mempersoalkan, jika Khairy berani mencadangkan pendakwaan tersebut kepada pengetua itu, mengapa Khairy tidak mencadangkan Nasir didakwa bagi satu hukuman yang keras, di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau seumpamanya, jika benar beliau mengucapkan kata-kata penghinaan itu.

"Jangan hanya orang-orang bawahan sahaja yang hendak dihukum sedangkan pemimpin-pemimpin Umno terlepas begitu sahaja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails