Selamat Datang

Jumaat, 20 Ogos 2010

Malam Munajat 1,000 Yaasin pada 22 Ogos



Wartawan Kita

KOTA BHARU, 20 Ogos: Qaryah Ramadhan di bandar raya ini akan terus mencatat sejarah pada 22 Ogos bersamaan 12 Ramadhan apabila acara Malam Munajat 1,000 Yaasin akan diadakan di situ.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Acara akan bermula seperti biasa dengan solat Isyak dan tarawih yang diimamkan oleh dua orang Imam Qaryah Ramadhan yang didatangkan khas dari Mesir oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) iaitu Syeikh Rejab Saad Yaasin dan Syeikh Ahmad Ramadhan Ayyub Muosa.

Menurut Ustaz Ropien Hassan dari Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Malam Munajat Yaasin itu yang merupakan cetusan idea daripada Takiyuddin Hassan akan dimulakan sebaik sahaja selesai solat tarawih dan pada malam tersebut tazkirah antara dua salam ditiadakan sebagaimana biasa.

“Pihak Qaryah Ramadhan akan mengedarkan surat-surat Yaasin yang diterbitkan oleh MPKB-BRI secara percuma kepada jemaah yang hadir pada malam itu untuk dibacakan secara serentak,” katanya.

Menurut Ropien lagi, pada malam itu juga akan diadakan program Kembara Puisi Mencari Tuhan yang akan dikendalikan oleh Ustaz Mohd Sanusi Hassan, mantan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.

Beliau akan menampilkan apa yang dinamakan 4 Disiplin Seni yang merangkumi puisi, deklamasi, ilustrasi dan kaligrafi termasuk bacaan puisi daripada karya beliau, antologi Kembara Puisi Mencari Tuhan.

Sanusi juga adalah pencipta khat rotan yang sedang dipamerkan di Qaryah Ramadhan semenjak ia dibuka Rabu lalu.

Khat rotan yang bersalut cat keemasan itu merupakan surah Yaasin lengkap, dibentuk di atas 147 keping papan, menggunakan 690 meter rotan dan 20288 batang paku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails