Selamat Datang

Jumaat, 13 Ogos 2010

Kerajaan membazir : Penduduk buat jalan sendiri




PARIT BUNTAR, 12 Ogos : Penduduk di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau bersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membaiki sendiri jalan rosak apabila pihak berwajib tidak mengendahkan aduan mereka.

Bekas Ketua Kampung Parit Abas, Ishak Yunus berkata, program gotong-royong pada 10 Ogos lalu bermula jam 9 pagi sehingga jam 1 petang melibatkan kira-kira 50 penduduk kampung.

Menurutnya, kos melibatkan hampir RM2000 bagi membeli dua lori simen konkrit yang dibiayai daripada sumbangan penduduk kampung di sini.

“Penduduk bergotong-royong membaiki jalan yang rosak dan menampal jalan yang berlubang sebagai persediaan menyambut Ramadhan dan kepulangan saudara mara menjelang Syawal nanti.

“Jalan Parit Abas adalah laluan yang sibuk dan jalan utama penduduk ke Pekan Kuala Kurau oleh penduduk Kampung Parit Abas, Parit Tok Hin, Parit Telok Pial dan kampung-kampung berhampiran,’ katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Yunus Jamhari dan pembantunya Adenan Said bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.

Ishak berkata, jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat dua sekolah terletak di kampung tersebut.

“Kerosakan jalan sangat serius bermula dari Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah menuju ke pekan Kuala Kurau dan membahayakan penduduk di samping merosakkan kenderaan.

“Masalah ini berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Katanya, penduduk telah mengadukan masalah itu kepada Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Pejabat Daerah termasuk pernah menyiarkan di dalam akhbar Sinar Harian keluaran 26 September 2009 yang lalu tetapi masih juga tiada tindakan diambil.

“Setiap kali diajukan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, mereka memberi alasan tiada peruntukan diterima dari kerajaan negeri dan persekutuan.

“Penduduk melihat kerajaan sewenangnya membazirkan ratusan ringgit bagi membeli kapal selam, jet pejuang, istana negara dan sebagainya tetapi sangat berkira-kira apabila ingin membantu rakyat,” katanya.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membaiki sendiri jalan di kampung mereka setelah melihat pihak bertanggungjawab seolah-olah lumpuh dan tidak berfungsi bagi membantu mereka.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membaiki jalan.SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails