Selamat Datang

Selasa, 17 Ogos 2010

Keganasan Polis dibawa ke Suhakam



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Aduan berhubung keganasan polis di dua tempat berbeza iaitu di Pasir Salak dan Batu Pahat pada 31 Julai lalu dibawa ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Aduan tersebut berkenaan tindakan pihak polis mengganggu dan melakukan tangkapan terhadap peserta himpunan warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak dan program ceramah anjuran pakatan Rakyat di Rengit.

Aduan diketuai Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria (kanan gambar atas) dan ketua pemuda Dewan Pemuda PAS Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil serta Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Dalam aduannya Razman berkata, meskipun himpunan tersebut diadakan secara tertutup atas tanah persendirian dengan mensasarkan orang-orang tertentu sahaja, namun ianya tetap diganggu oleh pihak polis.

Permit polis juga jelasnya telah dipohon sebanyak dua kali namun ditolak atas alasan penganjur tidak mempunyai kelulusan untuk menggunakan premis persendirian itu.

"Kita mendapat kebenaran daripada pemilik tanah melalui surat dan kami sertakan sekali geran tanah pemilik," katanya.

Beliau turut mempertikai tindakan polis mengadakan sekatan jalan hampir di seluruh jalan masuk ke tapak premis dan tangkapan hanya dibuat ke atas petugas program yang memakai pakaian PAS tanpa alasan yang nyata.

Selain itu, turut dipersoal tangkapan yang dibuat terhadap petugas di luar kawasan premis.

Dalam kejadian 1 Ogos lalu, seramai 16 orang ditahan dan dilepaskan pada malam yang sama dan tiga lagi direman selama beberapa hari.

Khairul Faizi (kanan gambar bawah) juga dalam aduannya menceritakan situasi yang hampir sama iaitu pihak polis menyerbu markaz PAS di Rengit.

Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit.

Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah di pentas itu.

Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah dan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita.

"Saya mewakili PAS Batu Pahat Pihak telah sediakan dokumen berkaitan kejadian ini dan minta pihak Suhakam mengambil tindakan yang sewajaranya," katanya.

Sementara itu, Mazlan menyifatkan larangan mengadakan himpunan aman semakin ketara di era pemerintahan perdana menteri Datuk Sri Najib Razak.

"Sebelum ini Datuk Seri Najib pernah kata, jangan buat demonstarasi jalanan. kalau nak buat, buatalah di tempat tertutup. Gunalah stadium, gunalah balai raya.

"Tapi bila kita minta nak guna stadium, tak boleh. Minta guna balai raya pun tak boleh juga.

"Jadi di manakah kita boleh buat berhimpun? Saya minta pihak polis nyatakan secara jelas di mana tempat yang boleh kita berhimpun," katanya.

Dalam pada itu, pengerusi Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah yang mendengar aduan itu dalam responnya berkata, insiden gangguan dan keganasan polis bukan perkara baru dan pernah dikritik oleh Suhakam sendiri.

Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap pihak polis yang menafikan hak rakyat untuk berhimpun.

Justeru, beliau berjanji akan memanjangkan aduan itu ke mesyuarat suruhanjaya selain akan mengatur pertemuan dengan pihak berwajib agar perkara yang sama tidak berulang lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails