Selamat Datang

Selasa, 10 Ogos 2010

Tidak nafi hak Melayu, Bumiputera miskin



Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 10 Ogos: "Kita tidak menolong orang kaya dan kita tidak menafikan hak orang-orang miskin, termasuk Bumiputera dan orang-orang Melayu untuk mendapatkan diskaun 7 peratus ini."

Demikian formula 'jalan tengah' oleh Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap anggota Lajnah Politik PAS Pusat ketika diminta menjelaskan tentang kepelbagaian pendapat antara Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tony Pua berhubung isu diskaun 7-10 peratus dalam pembelian rumah mewah.

Baginya, erti cadangan Abdul Hadi, Presiden PAS mempertahan hak Melayu dan Bumiputera untuk terus menikmati diskaun itu adalah merujuk pada hak mereka yang berpendapatan sederhana dan miskin, bukannya mereka yang kaya raya.

Manakala, katanya lagi, erti cadangan Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, iaitu menghapuskan diskaun tersebut pula bertujuan membendung mereka yang nyata kaya-raya dari terus mengambil kesempatan dengan mengumpul kekayaan serta membeli rumah mewah atas nama 'Bumiputera dan hak keistimewaan Melayu'.

Sebelum pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, PAS serta Pakatan Rakyat seharusnya mempertahankan tiga prinsip bersama berhubung isu yang melibatkan kepentingan rakyat marhaen, termasuk Melayu-Bumiputera.

"Ini adalah kombinasi dan adunan di antara dua pendekatan (Abdul Hadi dan Tony) untuk menangani prinsip yang kita (Pakatan Rakyat) mahu, iaitu pertama, jangan beri diskaun pada orang kaya."

"Kedua, nak bantu orang-orang Melayu dan ketiga, nak bantu orang-orang Melayu yang miskin," ujarnya di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Shah Alam, semalam.

Sambil menyifatkan formula 'jalan tengah' tersebut masih bersifat peribadi, beliau mencadangkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat segera mencari titik muafakat bersama dalam masa terdekat supaya pemimpin tertentu dalam kerajaan pusat tidak terus membakar api perkauman dalam masyarakat.

"Kalau kaedah ini dibincangkan, maka tidak ada pertikaian antara PAS dan DAP, malangnya kita ada seorang Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang suka menjadi 'batu api' dalam isu ini," ujarnya.

"Selama ini, kerajaan beri keistimewaan ini kepada Melayu-Bumiputera yang kaya untuk dapat diskaun-diskaun ini atas pembelian rumah RM2 juta lebih, sedangkan jumlah diskaun mereka ini bersamaan dengan jumlah diskaun lima atau enam orang miskin yang beli rumah bernilai RM100 ribu (dan) ke bawah."

Sehubungan itu, katanya, isu pembelaan orang-orang Melayu yang berpendapatan sederhana dan miskin sewajarnya tidak timbul di sebalik formula ketiga itu.

"Maka, persoalan tidak membantu Melayu miskin tak timbul, persoalan membantu melayu kaya pun tak timbul dengan cadangan ini," tegasnya sambil menyifatkan insiatif Abdul Hadi dan Tony sebagai 'wacana awam' Pakatan Rakyat.

Sabtu lepas, dilaporkan Muhyiddin, Timbalan Presiden Umno menuduh pembangkang tidak mempunyai kata sepakat berhubung hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera ekoran wacana awam antara Abdul Hadi dan Tony.

Tidak cukup dengan itu, sambil memuji pendirian Abdul Hadi, dilaporkan Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengajak orang-orang Melayu supaya kembali bersatu di bawah naungan Umno demi menghadapi Tony dan pemimpin DAP yang lain.

Lanjutan itu, beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat menyifatkan Muhyiddin sebagai 'batu api' kerana cuba melaga-lagakan Abdul Hadi dan Tony.

Difahamkan, mereka yang terbabit menganggap strategi terbaru Muhyiddin itu bertujuan mengelirukan orang-orang Melayu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails