Selamat Datang

Selasa, 24 Ogos 2010

Minuman beralkohol: Kanak-kanak minum bir



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin berhubung kebanjiran minuman ringan beralkohol dalam pasaran dengan bertopengkan minuman ringan.

Manakala undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa minuman beralkohol dilarang kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, minuman ini dijual kepada kanak-kanak sekolah tanpa sekatan di pasar raya dan kedai 24 jam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, isu minuman beralkohol yang dijual sebagai minuman ringan bukanlah perkara baru.

Pada 1997, katanya CAP mendedahkan minuman ringan bernama Alcopops dijual sebagai minuman ringan sedangkan ia mengandungi sehingga 5% alkohol, masalah yang sama kemudiannya didedahkan lagi pada 2003.

Katanya, kajian CAP menunjukkan pada masa ini lebih daripada 15 jenis minuman ringan beralkohol berada di pasaran.

Minuman ringan beralkohol ini yang boleh didapati di dalam botol 275 ml dijual dengan harga RM4 hingga RM10.

Botol berisi jus berwarna yang menarik dengan nama tropical fruit, ice lemon tea, jus oren, lemon original tanke, lemon and lime flavour, orange-lemon flavour dan sebagainya.

Katanya, pengeluar menggunakan warna yang amat menarik yang sudah pasti mempengaruhi pengguna terutama sekali kanak-kanak dan remaja untuk mencubanya dan kemudiannya akan ketagih.

Contohnya, kata beliau minuman ringan ini juga dikeluarkan dengan warna merah jambu yang akan menarik kanak-kanak perempuan untuk mencubanya.

“Malah dengan sedikit kesan alkohol dalam minuman ringan menjadikan ia minuman beralkohol, apatah lagi kandungan alkoholnya 4% hingga 6.3% dalam minuman ringan ini,” katanya.

Menurutnya, bir yang diminum dengan meluas mengandungi 5% alkohol yang bermakna kandungan alkohol dalam minuman ringan ini jauh melebihi kandungan alkohol dalam bir.

Katanya, kebimbangan mula dirasai oleh guru-guru di Pulau Pinang selepas mendapati pelajar-pelajar mereka mengambil minuman ringan ini hampir setiap hari walaupun harganya tinggi.

“Menyedari akan minuman ini boleh menjadikan mereka ketagih kepadanya, guru ini telah meneliti label pada botol dan amat terkejut apabila mendapati minuman itu mengandungi alkohol.

“Menyedari betapa seriusnya masalah ini, beliau kemudiannya membawa perkara ini ke perhatian pihak CAP,” katanya.

Jelasnya, apabila CAP menemubual beberapa orang pelajar yang mengambil minuman itu, mereka tidak menyedari bahawa minuman itu mengandungi alkohol.

Tambahnya, sesetengah daripada mereka menyuarakan rasa terkejut apabila mengetahui bahawa mereka selama ini sebenarnya mengambil minuman beralkohol.

Menurutnya, label yang jelas dengan maklumat kandungan alkohol tidak memberikan apa-apa makna memandangkan ia dicetak dalam huruf yang kecil dan ditenggelami oleh label berwarna dan menarik.

CAP, ujarnya percaya minuman ringan beralkohol boleh membawa kepada kegiatan samseng (gangsterisme) dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2005, 32 pelajar terlibat dalam gangsterisme.

Bilangan ini telah meningkat kepada 60 orang pada tahun lalu. Pada 2008 sahaja 81 pelajar dikesan hubungan mereka dengan aktiviti gangster.

“Jelas minuman ringan ini menjadi langkah awal untuk ketagihan alkohol,” ujarnya.

CAP, ujarnya merasakan bahawa hak pengguna telah dicabuli dengan mendedahkan minuman beralkohol ke atas mereka tanpa pengetahuan mereka.

“Keadaan ini amat tidak sihat kepada generasi muda. Minuman beralkohol boleh merosakkan sel otak dan menjejaskan deria mereka, ini memberikan kesan negatif terhadap prestasi akademik mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengeluar menggunakan taktik itu untuk meningkatkan jualan mereka dan memang mereka menyedari bahawa alkohol dalam minuman itu cenderung untuk menjadi ketagih untuk mengambil minuman ringan mereka.

Akhirnya, kata beliau ia akan membawa mereka kepada ketagihan kepada minuman alkohol lain yang lebih tinggi kandungan alkoholnya.

“Jelas sekali ini merupakan cara berbahaya memerangkap masyarakat ke dalam rantaian penagihan alkohol yang akan memastikan keuntungan yang berterusan untuk syarikat alkohol,” katanya.

Memandangkan bahaya minuman beralkohol yang bertopengkan di bawah nama minuman ringan, CAP menyarankan pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan di mana minuman itu tidak seharusnya dijual sebagai minuman ringan, sebarang minuman yang dicampur alkohol perlu dilabelkan sebagai minuman beralkohol dan dijual menerusi kaunter minuman keras sahaja,

Selain itu, katanya tindakan perlu diambil terhadap pengeluar minuman ringan yang melabelkan dan menjual minuman yang dicampur dengan alkohol sebagai minuman ringan.

Memandangkan minuman ringan adalah untuk semua pengguna, menambah alkohol ke dalamnya seharusnya tidak dibenarkan dalam pengeluaran minuman ringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails