Selamat Datang

Sabtu, 14 Ogos 2010

Pesalah bakar gereja mangsa politik sempit Umno



Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 14 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya para pemimpin Umno menanggung beban kesalahan dan dihukum akibat perbuatan membakar gereja Metro Tabernacle pada Januari lalu.

Mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua beradik yang didapati bersalah membakar gereja itu, Mahfuz menyifatkan mereka adalah mangsa penganiayaan politik perkauman sempit Umno.

"Hampir semua pihak sependapat bahawa kedua-duanya adalah mangsa hasutan Umno yang membakar api perkauman sempit dengan pelbagai provokasi ketika isu kalimah Allah dahulu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut beliau, propaganda perkauman sempit Umno yang bertujuan hendak memperbodoh-bodohkan orang-orang Melayu supaya menyokongnya menyebabkan munculnya pelbagai pihak yang kononnya hendak menjadi jaguh membela kesucian Islam.

Akibatnya, kata Mahfuz, ada yang bertindak berdasarkan emosi yang dibakar api perkauman Umno sehingga melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

"Akibat hasutan Umno itu, mungkin kedua-dua beradik yang menjadi mangsa hasutan Umno itu berpendapat bahawa Islam boleh dipertahankan dengan membakar gereja.

"Sedangkan sejarah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat tidak pernah merobohkan, apa lagi membakar gereja," katanya.

Mahfuz juga menyalahkan media-media arus perdana pro-Umno yang menghasut api perkauman sempit secara terang-terangan terutama dalam isu kalimah Allah.

"Lebih dari semuanya, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah individu yang paling bersalah kerana dilihat memberi dorongan kepada mereka yang hendak melakukan provokasi berikutan isu kalimah Allah apabila beliau berkata kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

"Malah, kenyataan Najib yang memaksa rakyat berhenti menuding jari dan menuduh kononnya Umno terbabit dalam insiden membakar gereja juga menguatkan lagi keyakinan umum bahawa provokasi Umnolah yang menyebabkan perkara itu berlaku," katanya.

Mahfuz juga yakin insiden pembakaran gereka dan pelbagai tindakan provokatif yang lain ketika itu boleh dihalang jika polis bertindak pantas ke atas para pemimpin dan media Umno yang melakukan pelbagai provokasi perkauman sempit itu.

"Amat malang, Umno terlepas ketika mangsa hasutan perkauman Umno dijatuhkan hukuman penjara," katanya.

Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald The Catholic Weekly kelihatan "lebih kepada sentimen perkauman berbanding agama".

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 22 setelah didapati bersalah membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails