Selamat Datang

Sabtu, 14 Ogos 2010

Kase terus berjuang hingga saman dihapuskan



Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Perjuangan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan tetap diteruskan sehingga kerajaan menghapuskan terus saman yang membebankan rakyat, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Bagi Pengerusi Kase itu, saman ekor bukan sahaja membebankan rakyat malah mencabar Perlembagaan Persekutuan.

"Kase akan tetap meneruskan kempen menyedarkan rakyat bahawa keputusan kabinet yang tetap akan menyenarai hitam nama pesalah jalan raya selepas 28 Februari 2011 hakikatnya mencabar Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mahfuz menyifatkan keputusan kerajaan itu nyata bersifat angkuh dan melanggar Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan yang melarang kerajaan menghalang rakyat menggunakan harta-benda milik mereka.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sengaja mahu bertindak mengatasi Perlembagaan.

"Kerajaan sengaja mahu menunjuk-nunjuk kepada rakyat bahawa ia boleh bertindak sesuka hati dengan mengetepikan Perlembagaan.

"Perlembagaan melarang kerajaan menghalang rakyat menggunakan harta-benda milik mereka tetapi bila kenderaan disenarai hitam tidak boleh memperbaharui cukai jalan, ia bermakna kerajaan menghalang rakyat menggunakan harta-benda milik mereka," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan keputusan kabinet itu bukan sahaja tidak mempedulikan kesusahan rakyat malah ia sekaligus merupakan perisytiharan perang terhadap Perlembagaan Malaysia dan keputusan mahkamah.

Beliau berkata, sebelum ini mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor pada 2009, Mahkamah Tinggi Sarawak secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

"Keputusan kabinet itu nyata tidak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang memutuskan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan menyenarai hitam pemilik kenderaan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar undang-undang.

"Keputusan itu juga nyata penuh dengan keangkuhan yang enggan mempedulikan suara hari rakyat yang mahu dimansuhkan terus tindakan menyenaraihitamkan kenderaan mereka itu," katanya.

Mahfuz memberitahu, Kase akan terus membuat pemantauan untuk memastikan kerajaan mematuhi undang-undang negara.

Kase juga, katanya lagi, sedang berusaha mengadakan rundingan bersama kementerian terbabit bagi mengatasi terus masalah kontroversi saman ekor.

“Kami ingin mendapat peluang untuk mengadakan dialog dengan Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Dalam Negeri. Harap Kerajaan dapat adakan rundngan dengan semua poihak bagi cari penyelesaian,” kata beliau.

Menurut beliau, surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan diserahkan dalam masa terdekat bagi mengadakan perjumpaan.

Tidak tahan dengan kemarahan rakyat, kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik buat sementara waktu bermula 11 Ogos lalu hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

“Pada masa yang sama kepada mereka yang disenaraihitamkan atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails