Selamat Datang

Isnin, 23 Ogos 2010

Kerajaan perlu serius kawal pornografi



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita Islam Kuala Lumpur akan menghantar memorandum kepada tiga kementerian bagi mendesak langkah yang lebih serius diambil dalam mengawal lambakan bahan pornografi di media massa yang dilihat menjadi punca kepada masalah sosial di negara ini.

Jurucakap gabungan yang diwakili lapan NGO itu, Dr Niekmah Adam berkata, memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang dilihat bertanggungjawab dalam masa terdekat ini.

"Setelah buat pertama kali semua NGO ini mengadakan perbincangan mengenai masalah sosial yang dirumuskan salah satunya berpunca daripada lambakan bahan porno, kami sebulat suara mendesak kerajaan secara umumnya mengambil langkah serius dan bersungguh-sungguh untuk mengawal kebanjiran bahan porno di internet dan media massa," kata Niekmah pada sidang media di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini, hari ini.

Menurutnya, pendedahan terhadap unsur-unsur pornografi di kalangan remaja ini menjadi salah satu punca utama kepada peningkatan kesalahan melibatkan kes jenayah seksual dan juga di kalangan remaja di Malaysia.

Memorandum yang dijangka akan diserahkan awal bulan depan itu mengandungi beberapa desakan kepada kementerian terbabit.

Antaranya gabungan itu mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan lebih berat keapda mana-mana pihak yang menjual dan mengedar bahan porno dan mengawal lambakan video cakera padat (VCD) di pasaran.

Mereka juga mendesak Kementerian Dalam Negeri mengawal penerbitan buku, nmajalah dan akhbar yang memaparkan cerita, berita, dan grafik yang mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau.

Selain itu, desakan turut dibuat terhadap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan konsisten dalam mengawal bahan-bahan siaran samaada di stesyen televisyen milik kerajaan atau swasta.

"Hak penapisan kandungan bahan siaran yang diberikan kepada sesetengah stesyen penyiar perlu ditarik balik dan Lembaga Penapisan Filem dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya perlu dinilai semula,” katanya yang juga Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur.

Selain itu, gabungan berkenaan berpandangan bahawa penguatkuasaan hukuman perlu ditingkatkan kerana hukuman berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada pengedar VCD lucah.

Sementara itu, Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga JIM, Faridah Maludin memberitahu, kebanyakan remaja yang terlibat dalam masalah sosial khususnya zina mengakui mereka terjebak ke dalam tindakan negatif itu kerana terpengaruh dnegan bahan porno yang sangat mudah untuk didapati melalui internet dan telefon bimbit.

Beliau turut berpandangan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting mendidik kanak-kanak dan remaj agar mempunyai benteng awalan diri yang mantap terhaap masalah-masalah sosial sejak daripada kecil lagi.

"Saya menyerulah kepada ibu bapa agar tidak memandang remeh isu ini sebaliknya mengawasi anak-anak dengan cara yang betul dan memberikan sepenuh kasih sayang agar mereka tidak mencari keseronokan di luar rumah," katanya.

Pengarah Nisa' Wilayah Persekutuan, Nor Hafiza Fadzil pula berkata, statistik pendaftaran kelahiran anak luar nikah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran negara dari tahun 2000 hingga 2008 sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian daripada semua pihak.

"Berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

"Ini sangat membimbangkan, jadi sebab itulah kami selaku NGO membawa isu ini dan bersetuju untuk menghantar memorandum kepada kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai Konvensyen Sosial Kebangsaan yang akan diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat bagi membincangkan masalah sosial dalam masyarakat, Niekmah berkata, pihaknya menyokong penuh usaha itu dan bersedia untuk turut serta.

"Ini satu usaha yang bagus dan kami menyokong penuh konvensyen ini diadakan dan bagi pihak kami, bersedia untuk menyertainya jika diundang untuk turut serta," katanya.

NGO lain yang menyertai gabungan berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), An Nidaa', Women Institute For Research, Development and Advancement (Wirda), Persatuan Kebajikan Darul Najah, Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan dan Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Hulu Klang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails