Selamat Datang

Isnin, 23 Ogos 2010

Hukum hudud: Pemuda PAS mahu yakinkan Karpal, Kit Siang



August 23, 2010

Nasruddin: Sementara undang-undang atau peraturan yang ada pada hari ini gagal merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang melanda teruk hari ini, kenapa tidak kita menerima pelaksanaan syariat Islam?
KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dewan Pemuda PAS Pusat sedia bertemu dengan pemimpin DAP Karpal Singh dan Lim Kit Siang atau mana-mana pihak bagi meyakinkan bagaimana hukum hudud boleh digunakan untuk “memulihkan satu peradaban yang kian runtuh.”

Dengan merujuk kepada kenyataan Karpal dan Lim semalam dan baru-baru ini berhubung penggunaan hudud mengatasi masalah sosial, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan siapa jua yang memerlukan penjelasan mengenai pelaksanaan syariat Islam termasuk kepada pihak pemerintah.

“Sementara undang-undang atau peraturan yang ada pada hari ini gagal merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang melanda teruk hari ini, kenapa tidak kita menerima pelaksanaan syariat Islam?

“Menerima pelaksanaan syariat Islam bukan bermakna bukan Muslim dipaksa memeluk ajaran Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Beliau menambah lojiknya selama ini jika rakyat boleh menerima dasar dan peraturan digubal British sedangkan semua bukanlah orang British, maka apa masaalahnya jika negara yang majoriti penduduknya Muslim melaksanakan syariat Islam.

“Bukankah sistem yang sedia ada itu telah gagal melahirkan sebuah masyarakat yang soleh dan sejahtera? Realiti ini diakui oleh semua sehingga kini YB Karpal Singh juga mencadangkan hukuman yang lebih berat.

“Justeru itu, langkah bijak ialah menukar sistem kepada yang lebih baik, adil dan berkesan.

“Perlu diingat bahawa keberkesanan sesuatu jalan penyelesaian bukan hanya dilihat kepada berat dan kerasnya hukuman tersebut tetapi dilihat kepada sejauh mana ia mampu menimbulkan keinsafan dan kesedaran di kalangan masyarakat khasnya penjenayah terbabit,” kata beliau lagi.
MENYUSUL LAGI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails