Selamat Datang

Sabtu, 14 Ogos 2010

Ribut ragut dua peniaga Bazar Ramadan, 18 cedera



TERKINI @ 11:28:18 PM 13-08-2010
August 13, 2010

Seorang mangsa cedera akibat ribut di Bazar Ramadan dibawa ke Hospital Jasin. - Foto Bernama

JASIN, 13 Ogos — Dua orang peniaga dan seorang pengunjung terbunuh menakala 18 yang lain cedera dihempap khemah yang diterbangkan ribut dalam kejadian yang melanda kawasan Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Jasin di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Che Suza Che Hitam berkata dua peniaga yang terbunuh dalam kejadian pukul 5 petang itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; Abdul Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini dan pengunjung Muhammad bin Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

“Ketiga-tiga mangsa cedera parah di kepala terkena khemah (panjang) 20 kaki kali 20 kaki (lebar) yang diterbang ribut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Che Suza berkata Abdul meninggal dunia ditempat kejadian, Mahadi di. Hospital Jasin manakala Muhammad di Hospital Melaka.

Mayat Abdul dan Mahadi dibedah siasat di Hospital Jasin manakala Muhammad di Hospital Melaka.

Mahadi peniaga martabak manakala Abdul penjual cendol.

Sebanyak 21 khemah disediakan untuk 56 orang peniaga di bazar tersebut.

Beliau berkata kebanyakan daripada 18 mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jasin.

Seorang peniaga yang terselamat dalam kejadian itu, Farim Rosli, 32, berkata kejadian ribut yang kuat itu telah menerbangkan hampir kesemua 30 khemah yang disediakan kepada peniaga di Bazar Ramadan berkenaan.

“Tiba-tiba ribut datang, terbangkan khemah tempat saya berniaga, nasib baik saya dapat mengelak daripada terkena tiang besi kaki khemah yang diangkat ribut, kalau tidak tak tahu nasib saya,” katanya.

Beliau berkata orang ramai dan peniaga bertempiaran lari menyelamatkan diri dan ada di antara mereka yang dihempap oleh khemah.

“Sepanjang tujuh tahun saya berniaga di sini, inilah kali pertama kami (peniaga) dilanda ribut yang cukup dasyat, walaupun dalam tempoh yang tidak lama,” katanya dari Kampung Air Merbau.

Seorang pengunjung Bazar Ramadan itu, Fatimah Hassan, 32, berkata ketika kejadian orang ramai sedang sibuk membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar berkenaan.

“Keadaan ketika itu begitu kelab kabut dengan masing-masing cuba lari. menyelamatkan diri, saya bersyukur kepada Allah kerana tidak cedera walaupun nyaris-nyaris terkena tiang besi kaki khemah yang diterbangkan ribut,” katanya.

Turut melawat mangsa ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Parlimen Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Merlimau Datuk Mohamad Hidir Abu Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Rambai, Hassan Rahman. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails