Selamat Datang

Selasa, 17 Ogos 2010

Pemuda PAS cabar Ridhuan Tee sertai Umno



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Pemuda PAS mencadangkan agar Dr Ridhuan Tee menyertai Umno dan mengishtiharkannya secara terbuka ekoran tuduhan penulis itu terhadap PAS.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abd Rani dalam satu kenyataannya sangat kesal dengan tulis Ridhuan yang mendakwa "PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir".

Sehubungan itu, Azman berkata, "inilah akibat apabila belajar Islam dengan Umno yang memisahkan politik dengan agama yang mengakibatkan ramai yang kabur dengan Islam sebenar termasuk Dr. Ridhuan Tee sendiri."

Ridhuan Tee adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional. Semasa menjadi pelajar di UKM, beliau adalah pemimpin pelajar di sana. Selepas belajar, beliau pernah bertugas di Harakah sebagai pegawai kawalan kredit akhbar PAS itu.

Kata Azman, kenyataan Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia, tidak mencerminkan tahap pencapaian pendidikan yang beliau perolehi.

Beliau yang merupakan seorang yang berkelulusan BA(Hons)Political Science (UKM), MA Strategic Studies (UKM), PhD Politics and Government (UPM), Dip. Islamic Studies (UIA) sepatutnya agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan, katanya.

Beliau merujuk kepada artikel yang ditulis oleh beliau yang bertajuk ‘Jangan terlalu berani mencabar’ yang dikeluarkan dalam Mingguan Malaysia yang bertarikh 15 Ogos 2010.

Antara isi kandungannya berbunyi ‘Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam’.

"Ini merupakan satu pertuduhan yang serius yang boleh mencemarkan nama baik PAS sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Atas dasar apa kenyataan ini dikeluarkan?" katanya.

PAS satu parti yang sejak dari dulu berjuang bukan sahaja atas nama Islam malah setiap tindak tanduk dan keputusan mestilah berlandaskan al quran, hadis, qias dan ijma’ ulama, katanya.

Dalam kuliah-kuliah agama dan ceramah-ceramah, katanya, PAS hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur sebagai panduan kepada umat Islam agar tidak tergelincir daripada hukum syarak walaupun dalam berpolitik kerana Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dari kehidupan dunia.

"DPPP mencabar agar dibuktikan individu mana yang pernah PAS kafirkan?
Beliau seharusnya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menuduh PAS atas tuduhan yang sebegitu rupa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails