Dr. Syed Azman Syed Ahmad, | 17 Apr 2012 |
Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan berani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di Parlimen baru-baru ini mengenai isu ’konspirasi terancang’ antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR menjadikan mereka sebagai pengundi yang ’sah’.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendedahkan antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.
Menurut Mahfuz lagi, beberapa individu lain yang juga terlibat bagi melakukan tugas kerja tersebut mengikut arahan yang diketuai Datuk Othman Razak adalah Timbalan Ketua Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said, Pegawai JPN Nik Norashikin Nik Mansor, Pegawai Bahagian Kewarganegaraan JPN Rashid Bashirun dan Shahrul Anwar Ahmad Zaidi.
Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat beberapa Penjawat Awam tertinggi negara di bawah Jabatan yang amat kritikal bagi negara seperti JPN dan SPR adalah suatu yang amat dikesali dan perlu kepada siasatan lanjut.
Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara.
'Projek Isuzu'
Ya, saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.
Konspirasi yang di gelar 'Projek Isuzu’ ini telah di lakukan secar terancang dalam pilihan raya umum 1995 bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Sri Abdul Hadi Awang di kawasan parlimen Marang.
Begitu juga dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak serta peratusan keluar mengundi yang ’amat luarbiasa’ di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2004 semasa PRU ke 11 yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang dan hanya mampu bertahan selama satu penggal sahaja.
PAS kalah di kesemua 8 kerusi Parlimen dan hanya mampu menang 4 dari 32 kerusi yang dipertandingkan di Terengganu. Pada pilihanraya tahun 2004 itu, negeri Terengganu telah mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi bagi seluruh negara dan boleh dianggap amat tidak munasabah iaitu sebanyak 87.43 peratus sedangkan purata keluar mengundi bagi seluruh negara pada tahun 2004 hanyalah 74.43 peratus sahaja.
Ini ditambah lagi dengan perbandingan jumlah pemilih baru bagi negeri Terengganu yang juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ pada PRU ke 11. Pada tahun 1999 menjelang pilihanraya ke 10, negeri Terengganu telah mencatatkan pertambahan pengundi baru sebanyak 19,663 pengundi iaitu pertambahan sebanyak 5.08 peratus dari tahun 1995 semasa PRU ke 9. Pertambahan ini boleh di anggap ‘normal’ kerana purata nasional jumlah pemilih baru pada tahun 1999 adalah 5.77 peratus sahaja.
Tetapi yang paling ‘ajaib’ dan mengejutkan apabila pilihanraya tahun 2004, negeri Terengganu telah menyaksikan satu lonjakan jumlah pertambahan pengundi baru yang kedua tertinggi di seluruh Malaysia selepas Selangor iaitu sebanyak 68,585 atau pertambahan sebanyak 15.04 peratus.
Peratusan ini juga ‘amat luarbiasa’ dan ‘tidak munasabah’ berbanding dengan purata pendaftaran pengundi baru bagi seluruh negara di Malaysia pada tahun 2004 hanyalah 7.01 peratus sahaja.
Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri’ sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.
Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi membersihkan kembali kepincangan yang amat bahaya ini dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat isu ini?
Bagi saya pendedahan yang telah dibuat oleh Datuk Mahfuz di parlimen itu adalah amat serius kerana tindakan tersebut boleh anggap seperti menjual negara kepada rakyat asing untuk kepentingan politik jangka pendek.
Namun bagi saya, isu pokok yang harus di lihat oleh semua pihak adalah peranan SPR itu sendiri. Apabila isu kredebiliti SPR menjalankan tugas mereka secara adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil menjadi pertikaian, maka demokrasi di negara kita akan terus menjadi tempang.
Ini ditambah lagi dengan 'hilang keyakinan’ rakyat awam terhadap peranan SPR sendiri. Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh SPR mengenai isu MyKad serta serta pelbagai isu yang menjadi pertikaian dilihat amat tidak meyakinkan dan berat sebelah. Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka ’berkhidmat untuk Umno/BN’ bagi menjamin kelangsungan kuasa di Puterajaya.
Bagi saya, untuk menjamin masadepan demokrasi dan kejernihan pilihan raya di negara kita, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar berundur segera secar terhormat dan izinkan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong membentuk satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat pendedahan Datuk Mahfuz itu sebelum membenarkan Parlimen dibubarkan. Tiada pilihan bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan kecuali sama-sama turun ke perhimpunan Bersih 3.0.
--------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui email: syedazmans@yahoo.co.uk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA