Selamat Datang

Jumaat, 27 April 2012

Abdul Aziz, Wan Ahmad cabul integriti SPR

Khairul Faizi Ahmad Kamil, 27 Apr 2012
Pendedahan yang telah dibuat oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa Pengerusi SPR iaitu Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan juga Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar adalah anggota kepada sebuah parti politik telah mengejutkan banyak banyak pihak.

Walaupun pada peringkat awalnya Pengerusi SPR cuba menafikan bahawa beliau adalah merupakan seorang ahli kepada parti politik namun apabila pendedahan dibuat berserta dengan nombor keahlian dan cawangannya maka beliau cuba berdolak-dalih dengan menyatakan bahawa berkemungkinan beliau tidak begitu mengingati bahawa beliau pernah menjadi ahli parti politik UMNO pada satu masa dahulu.

Walau apapun hujah yang dikemukakan oleh Tan Sri Abdul Aziz kepada massa berkaitan dengan keahliannya dalam parti politik, ia tetap dilihat sebagai suatu pencabulan integriti dalam sistem piliharaya di Malaysia.Sukar untuk mempercayai bahawa Pengarah dan Timbalan Pengarah SPR akan bertindak telus dalam menjalankan tugas mengendalikan pilihanraya apabila mereka sebenarnya menganggotai salah sebuah parti yang bertanding lebih-lebih lagi parti pemerintah yang sudah pasti mengharapkan agar mereka diberikan ruang untuk mengekalkan kuasa pemerintahan.

Perkara ini sudah pasti menjatuhkan kredibiliti SPR di mata rakyat malah di peringkat antarabangsa. SPR akan menjadi sebuah badan yang tidak diyakini oleh semua pihak serta boleh mengikis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. Tidak mustahil sekiranya Indek Persepsi Rasuah (CPI) yang bakal dikeluarkan oleh Tranperancy International (TI) nanti menunjukkan penurunan yang lebih teruk daripada sekarang kerana badan yang sepatutnya bertindak bebas dipimpin oleh mereka yang berpihak.

Perkembangan ini sudah tentu menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap SPR yang terus dipertikaikan seperti isu daftar pemilih yang kotor undi dan pos yang memihak kepada pemerintah.

Justeru Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR digesa agar meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta bagi memulihkan persepsi masyarakat terhadap badan yang penting dalam menentukan parti pemerintah dan kerajaan Malaysia pada PRU yang akan datang ini.

*Penulis adalah Presiden Intelek Malaysia merangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails