Abdul Aziz Mustafa, | 20 Apr 2012 |
Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, jika surat arahan pindahan wang dari TH kepada Ismee itu telus dan mengikut peraturan, penjelasan sepatutnya dibuat serta merta.
"Tidak ada apa yang perlu ditakutkan dan tidak ada yang perlu disembunyikan jika sesuatu transaksi itu dibuat mengikut peraturan dan TH serta CEOnya bukan sahaja boleh memberikan penjelasan yang meyakinkan dengan serta merta malah mereka boleh merasa bangga pula kerana menjalankan tugas mengikut peraturan dan dengan wajar," katanya.
Mahfuz sebelum ini mempersoalkan mengapa terdapat arahan pindahan wang RM308,700.00 dari akaun TH kepada akaun CEOnya,.Menurut beliau, sekiranya transaksi itu dibuat mengikut peraturan dan wajar, CEO TH tidak perlu risau dan memperlihatkan kerisauannya.
"Malangnya, tidak ada sebarang penjelasan meyakinkan dari TH sehingga kini," kata beliau.
Mahfuz berkata, TH bukan sahaja tidak tampil dengan penjelasan yang meyakinkan tanpa sebarang keraguan, malah beliau kini dihubungi pula secara peribadi oleh beberapa kakitangan Bank Islam mengenai perkara itu.
"Ada pihak yang menuduh Bank Islam tidak amanah kerana kononnya bank itu membocorkan rahsia mengenai pindahan wang itu.
"Mengapa panik dan menggelabah tidak tentu hala sehingga tanpa usul periksa dan tanpa bukti menuduh Bank Islam tidak amanah dan membocorkan rahsia mengenai pindagan wang itu?" soal beliau.
Mahfuz mempersoalkan, jika transaksi itu wajar dan mengikut peraturan, mengapa perlu menuduh Bank Islam membocorkan rahsia?
"Rahsia apa? Mengapa pula menjadi rahsia?
"Inilah yang perlu dijelaskan. Bukan sahaja mengenai peraturan tetapi juga mengenai kewajaran pindahan wang itu jika ia dipindahkan sebagai ganjaran kepada Ismee sama ada sebagai bonus untuknya atau apa sahaja bayaran.
"Setiap bayaran mesti ada kewajaran," katanya.
Ketika ditanya adakah surat arahan pindahan itu diberikan kepadanya oleh kakitangan mana-mana bank, beliau terus menjawab: "Tidak. Tidak sama sekali".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA