Hazayani Zakaria foto Nasir Sudin, | 18 Apr 2012 |
(Orang ramai yang memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi)
KUALA LUMPUR, 18 April: Kepelbagaian acara dan tetamu dalam program Ceramah Countdown 10 hari Bersih 3.0 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' pada 28 April ini.
Bermula daripada wakil mahasiswa dan anak muda, aktivis masyarakat hingga ahli politik termasuk ahli Umno, masing-masing memfokuskan ucapan kepada menyeru rakyat untuk 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka.
(Mohamad Sabu dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil yang turut hadir malam tadi)
Wakil mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim berkata, mahasiswa sudah menunggu kemaraan rakyat di Dataran Merdeka, merujuk kepada sekumpulan mahasiswa yang berkhemah di sana bagi menuntut pendidikan percuma.
Aktivis Bersih 2.0, Auntie Anne memperkenalkan slogan 'Kuning, kuning, Najib Pening' sambil mengingatkan rakyat agar tidak takut untuk bersolidariti menuntut pilihan raya bersih dan adil.
(Dr Mariah bersama Untie Bersih di atas pentas)
Walaupun padang basah dan berair, kira-kira 2,000 hadirin sanggup berdiri mendengar ceramah daripada 31 jemputan sehingga ke akhir program.
Mereka kelihatan teruja dan bersemangat mendengar pesanan dan seruan para penceramah.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan ucapannya dengan nyanyian mengikut rentak lagu Merdeka nyanyian Allahyarham Sudirman, 'Tanggal 28...merdeka, merdeka, Dataran Merdeka' dan turut disambut oleh hadirin yang hadir.
Aktivis Amin Iskandar atau Black turut menyampaikan lagu khusus Bersih 3.0 "Mentari Kuning Menyalalah".
Kemuncak kepada program ialah ucapan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang juga Pengerusi Bersama Bersih 3.0.
(Tamrin Ghafar turut berucap)
Beliau seperti sebelum ini konsisten menegaskan bahawa sasterawan tidak boleh hanya terus merakam peristiwa sebaliknya harus berada di tengah-tengah peristiwa dan masyarakat.
Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh 39 NGO anak-anak muda dan mahasiswa.
T-shirt Bersih 3.0 yang dijual dengan harga RM11 juga mendapat sambutan orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA