Selamat Datang

Ahad, 8 April 2012

Bersih 3.0 jawapan kepada penipuan BN

Mohd Rashidi Hassan, 08 Apr 2012
Sewaktu di Phnom Penh, Kemboja, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak kononnya berkata, bahawa beliau akan memastikan Pilihan Raya Umum ke-13, berlangsung dengan adil dan demokratik.

Najib juga mengatakan bahawa beliau tidak mahu menang dengan cara yang kotor pada PRU tersebut.

Namun apa pun, kita menyambut baik apa yang diperkatakan kepada PM, mudah-mudahan beliau tidak sekadar 'melepaskan batuk di tangga' atau 'baling batu, sembunyi tangan.'

Malangnya masih ada juak-juak Umno-Barisan Nasional memberi hujah dangkal, kononnya jika pilihan raya tidak demokratik, mana mungkin parti pembangkang boleh menang sehingga menguasai beberapa buah negeri.

Dengan hujah sedangkal ini, rupa-rupanya, masih ada segelintir pemimpin Umno-BN yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa, dengan kuasa rakyat, ia mampu mengatasi segala perancangan dan menghapuskan keegoan mereka.Kemenangan mereka selama lima dekad sejak merdeka, bukan bermakna pilihan raya diadakan secara adil dan demokratik.

Pilihan raya dijalankan dengan tidak adil. Semua institusi kerajaan dikerahkan untuk bekerja memenangkan BN. SPR, Polis dan media massa terutamanya, berpihak kepada BN.

Tetapi keangkuhan dan keegoaan BN ada hadnya.

Kita mengingatkan pemimpin dan pendukung BN, mereka harus sedar bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar pembangkang yang boleh dianggap remeh kuasanya.

Pakatan Rakyat adalah suatu force yang mewakili kuasa rakyat yang sebenar. Pada PRU ke 12 tahun 2008, Pakatan Rakyat memperolehi lebih 48 peratus undi popular dari kalangan rakyat.

Rakyat yang bangkit dengan penuh kesedaran, memberikan signal kepada BN, bahawa manipulasi mereka selama lima dekad, sudah sampai ke penghujungnya.

Rakyat mahu pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil. Lapan tuntutan yang dikemukakan menerusi Pakatan Rakyat adalah kehendak majoriti rakyat.

Kehendak ini berasaskan kepada hak rakyat untuk memilih parti yang mewakili mereka sebagai kerajaan, dengan pemilihan yang bebas dan adil, tanpa dipengaruhi dengan pelbagai penipuan, penyelewengan dan manipulasi.

Manipulasi daftar pemilih, dengan pertambahan mendadak pengundi di kawasan tertentu, ditambah dengan kenaikan pengundi pos, merupakan suatu tindakan yang tidak boleh diterima rakyat.

Tetapi apabila dibangkitkan isu ini di Parlimen, kerajaan mengatakan ianya adalah di bawah bidang kuasa SPR. Malangnya desakan ini tidak diterima dan tidak dihiraukan SPR.

Mengapa SPR tidak hiraukan tuntutan rakyat? Sudah tentu ada tangan-tangan kotor di dalam SPR yang menjadi seumpama 'hamba yang menyembah tuannya'.

Kita ajukan persoalan, siapakah tuan kepada SPR?  SPR di bawah kuasa siapa, kalau bukan oleh PM yang juga Presiden Umno.

Umno-BN boleh memberikan alasan bahawa SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang hanya dinasihati oleh PM.

Tetapi Umno-BN tidak boleh menipu rakyat, bahawa Pindaan Perlembagaan yang dibuat Parlimen pada tahun 1993, sudah melucutkan kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Justeru, dengan pindaan ini, walaupun ianya dinamakan 'nasihat', tetapi menurut Perlembagaan, ianya adalah keputusan PM yang mesti diterima oleh YDP Agong.

Oleh itu dalam soal pilihan raya ini, SPR bukan badan bebas. Ia tetap tertakluk di bawah kuasa PM. Ini bermakna, ia tidak boleh lari daripada mendengar arahan tuannya. Arahan untuk memenangkan parti tuannya.

Maka oleh itu, kita mencabar PM Najib, jika benar beliau berjanji untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, beliau harus membenarkan suara rakyat untuk didengari.

Suara rakyat adalah kuasa keramat rakyat di bawah panji Bersih 3.0. Jangan sesekali kesampingkan kuasa rakyat yang akan berhimpun di Dataran Merdeka pada jam 2 petang 28 April ini. Hidup rakyat, hancur BN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails