Selamat Datang

Khamis, 5 Ogos 2010

SPR dan igauan 4.3 juta

Wan Nik Wan Yussof

Kebelakangan ini isu 4.3 juta warganegara belum mendaftar acapkali diperbesar-besarkan. Ia berkemungkinan ada hubungannya dengan bahang pilihan raya yang berjaya ditiupkan oleh Umno. Kehangatan itu turut menarik perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mengambil langkah sesuai, kerana angka 4.3 juta itu sewajarnya ditangani oleh SPR sendiri. Ekoran daripada itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut memberi respon seperti mana dilaporkan oleh beberapa media arus perdana.

SPR dalam perlembagaan

Fungsi SPR dalam urusan mendaftar warganegara yang cukup umur 21 tahun tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Fungsi itu bersumberkan kuasa di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mendaftarkan warganegara yang layak sebagai pemilih supaya mereka dapat menyertai proses memilih wakil untuk menyuarakan pendapat mereka dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Atas kuasa tersebut, kenyataan dalam laman web SPR menyebutkan urusan pendaftaran telah dilaksanakan oleh SPR semenjak ia ditubuhkan tanpa gagal. Urusan yang dahulunya dilakukan secara bermusim iaitu setahun sekali selama antara 21 hingga 42 hari, kini dibuka setiap hari untuk sepanjang tahun sejak 16 Julai 2002.

SPR berfungsi tanpa gagal?

Apa yang menariknya, kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengakui sehingga kini terdapat 4.3 juta orang warga negara yang disahkan berumur 21 tahun oleh Jabatan Pendaftaran Negara yang belum mendaftar. Apakah angka itu menjawab kenyataan yang SPR melakukan daya usaha mendaftar tanpa gagal?

Meskipun diakui, SPR telah menjalankan pelbagai daya usaha, antaranya mengubah strategi operasi mendaftar daripada 21 hari kepada 42 hari, kemudian kepada sistem pendaftaran pemilih sepanjang tahun (SPPST), dan melantik wakil parti-parti politik sebagai penolong pegawai pendaftaran (PPP) serta melantik Pos Malaysia sebagai agen mendaftar.

Namun, angka belum mendaftar semakin tertunggak. Isu tunggakan sudah menjadi timbunan kerana bukan sahaja ramai golongan muda yang baru cukup 21 tahun, malah masih ada yang berumur 30-an dan 40-an yang tidak mendaftar. Justeru ia telah mendorong munculnya pelbagai kenyataan yang mengesahkan SPR berfungsi dalam kegagalan.

Atas asas tersebut, maka terungkaplah kata-kata seperti masih ramai tidak mendaftar, lewat mendaftar, tidak pernah mendaftar walaupun sudah lanjut usia, tidak bersedia mendaftar, tidak cukup pusat mendaftar dan susah mendaftar.

Bagaimana untuk mendaftar 4.3 juta?

Apa pun kata-kata yang timbul setiap kali memperkatakan isu pendaftaran pemilih ialah timbulnya banyak cadangan dari pelbagai pihak, termasuklah pihak ahli suruhanjaya SPR sendiri. Terbaru, Pengerusi SPR dikatakan sedia mengkaji kemungkinan untuk menaikkan bayaran kepada PPP yang dilantik SPR dari RM1 kepada RM3. Apakah langkah itu pasti melangsaikan tunggakan sebanyak 4.3 juta?

Mungkin ia pasti berjaya apabila dinilai dari aspek kebendaan. Sebaliknya, jika dinilai atas kesedaran politik pilihan raya, nilai RM3 itu sebenarnya tidak ada apa-apa kekuatan. Ini kerana ada pihak yang masih tidak setuju, malah menolak untuk mendaftar. Ia dikatakan berpunca daripada belum wujudnya kesedaran majoriti rakyat.

Sementelah pula, didapati masih ramai golongan belia yang jijik dengan amalan demokrasi kita. Tidak kurang pula yang mentohmahkan SPR itu sendiri sebagai badan pemudahcara hanya untuk kepentingan politik parti pemerintah.

Utamakan pendidikan politik

Sekilas pandang, jika nilai imbuhan RM1 diberi untuk PPP yang mendaftar seorang pemilih baru cukup umur, maka seramai 4.3 juta orang yang tertunggak itu akan memerlukan sejumlah RM4.3 juta. Atau pun jika ditambah kepada RM3 seperti yang baru dicadangkan, ia akan bertambah kepada RM12.9 juta. Justeru ada pihak yang menilainya sebagai terlalu besar dan membazir untuk melaksanakan pendekatan itu.

Sejumlah itu mungkin tidak sampai RM10 juta jika difikirkan untuk satu peruntukan program pendidikan politik ke arah mendorong kesedaran dan pembinaan warganegara prihatin terhadap tanggungjawab politik warga. Atas rasional ini, maka ada baiknya SPR mengutamakan pendidikan politik kepada warganegara, khususnya kepada generasi belia. Malah lebih baik lagi, jika pendidikan politik itu didedahkan kepada pelajar, NGO dan pelbagai kelompok masyarakat.

Bagi memenuhi maksud ini, amat sesuai jika SPR mengekalkan imbuhan RM1 kepada PPP, dan RM2 lagi itu boleh digunakan untuk mana-mana NGO dan institusi ke arah melebarkan kesedaran politik warga termasuk kempen daftar mengundi. Mungkin ia juga boleh disalurkan kepada mana-mana agensi kerajaan berkaitan belia dan pertubuhan belia. Ia mungkin lebih baik untuk tempoh jangka panjang.

Langkah tersebut adalah pelaburan yang bakal menguntungkan demokrasi dan menyuburkan benih politik pilihan raya apabila majoriti rakyat berpeluang mengundi dan tiada lagi pihak yang akan merungut namanya tiada dalam senarai pemilih.

Beralih kepada pendaftaran automatik

Peranan Jabatan Pendaftaran Negara adalah agensi strategik kerajaan yang banyak membantu SPR, khususnya dalam mengesahkan nama-nama yang layak mendaftar sebagai pemilih. Menerusi kaedah JPN yang menyediakan Agency Linkup System (ALIS) dengan menggunakan sistem rangkaian komputernya yang membenarkan agensi lain mencapai maklumat secara online. Semua pelanggan ALIS yang diluluskan oleh kerajaan akan diberi kebenaran untuk mengakses sistem dan mencapai maklumat individu dengan menggunakan nombor kad pengenalan sebagai kekunci. Atas kekuatan ALIS membolehkan SPR mengesahkan semua nama berdaftar sebelum disahkan sebagai pemilih.

Walau bagaimanapun, dengan kemudahan ALIS itu fungsinya tidak sepatutnya dimanfaatkan sekadar untuk mengesah nama pemilih mendaftar, sebaliknya ia boleh dimanfaatkan untuk menjayakan sistem pendaftaran automatik pemilih. Sasarannnya ialah mendaftar pemilih baru dan pengundi lama yang ingin berpindah atau untuk menyemak.

Justeru pihak JPN perlu diberi kuasa membantu SPR dengan cara meminda Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) bagi membolehkan JPN menguatkuasakan peraturan memakai alamat mengikut mastautin semasa dan berupaya mencadangkan secara automatik kepada SPR nama-nama individu warganegara yang cukup umur dan layak mendaftar. Pindaan juga perlu untuk memberi kuasa kepada JPN bagi memasukkan nama-nama tersebut kepada Daftar Pemilih Tambahan untuk dipamerkan sebelum disahkan oleh SPR. Kemudian tempoh pameran boleh dibuat setiap bulan pada minggu keempat. Sekiranya proses automatik ini dilaksanakan, mungkin masa pengesahan boleh dibuat setiap bulan dan setiap awal bulan berikutnya senarai pemilih baru itu dapat disahkan.

Apa yang penting ialah kepercayaan harus diberikan kepada semua data yang diproses secara ALIS. Maka, pihak JPN harus bertindak dengan penuh integriti. Natijahnya pendaftaran automatik dapat memenuhi nilai demokrasi yang dituntut oleh rakyat, di samping dapat menjimatkan wang negara daripada teus membayar kepada mana-mana agen pendaftaran yang dilantik SPR sebelum ini.

Penambahbaikan berterusan SPR

Secara umumnya, SPR sudah bersedia menerima hakikat betapa perlunya penambahbaikan dilakukan demi memenuhi sifat badan pengurusan berkaitan pilihan raya di Malaysia. Sebagaimana pernah ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad (Berita Minggu 1 Ogos 2010) bahawa SPR dari semasa ke semasa melaksanakan penambahbaikan. Namun penambahbaikan itu akan lebih bermakna dan dikira berkesan apabila tidak wujud lagi isu-isu seperti kegagalan mendaftar tunggakan 4.3 juta pengundi baru, senarai pemilih mengandungi nama-nama pemilih yang mati, nama pengundi pos yang pada masa sama juga berdaftar sebagai pemilih biasa (nama berganda), ketidakcekapan pengurusan undi pos, dan keraguan terhadap ketelusan dalam mengurus sesuatu pilihan raya.

Semoga kesedaran ke arah membina demokrasi sebenar akan mencapai kejayaan dan menjadi realiti. Apa yang utama, langkah-langkah pemerkasaan pengurusan SPR wajar dilakukan dari masa ke semasa dan keutamaannya adalah penyelesaian kepada persoalan tidak puas hati pelbagai pihak, khususnya aspek pendaftaran pemilih. Sesungguhnya, menghormati hak rakyat adalah simbolik kepada menghormati hak Allah SWT yang menciptakan manusia sebagai hamba-Nya.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap ahli Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails