Selamat Datang

Khamis, 5 Ogos 2010

PRU 13: PAS Terengganu tumpu 32 Dun



Khairul Azlam Mohamad

BESUT, 4 Ogos: PAS Terengganu memberi tumpuan terhadap kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini termasuk lapan kawasan parlimen.

Hingga kini, PAS Terengganu berpuas hati dengan segala persiapan jentera parti di setiap peringkat Dun-Dun yang dilawati sejak setahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut berkata demikian selepas Mesyuarat Dewan Harian PAS Terengganu di Felda Tenang, Hulu Besut, hari ini.

[Gambar: Abdul Wahid (kanan), Yahaya (kiri) beserta anggota Dewan Harian PAS Terengganu menjamu durian selepas selesai mesyuarat.]

“Alhamdulillah, ini lawatan terakhir kita dan selesai 32 Dewan Undangan Negeri (Dun). Kita bermula di Dun Kota Putra, Besut dan berakhir di Dun Hulu Besut ini.

“Kita tumpu kepada semua 32 Dun di Terengganu ini. Maknanya, seluruh negeri Terengganu termasuk di lapan kawasan parlimen,” tegasnya.

Menurutnya, PAS negeri berpuas hati dengan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) akan datang.

Katanya, petugas parti sedang melakukan persiapan dengan mengaktifkan bilik gerakan termasuk membuat pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pertama (lawatan) dapat melihat serta meninjau tentang tahap persiapan dan perkembangan gerak kerja yang dilakukan di Dun-Dun seluruh negeri Terengganu.

“Keseluruhannya, kita rasa puas hatilah kerana jentera kita telah pun digerakkan. Mereka bersedia untuk bekerja ke arah mempersiapkan lagi jentera parti.

“Insya Allah, kita rasa dalam menghadapi pilihan raya akan datang ini, kita mampu untuk memberikan suatu kekuatan yang lebih mantap di seluruh negeri Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha PAS negeri, Yahaya Ali berkata PAS Terengganu berusaha menggerakkan semua lajnah-lajnah serta portfolionya.

Menurutnya, PAS Terengganu juga telah menyiapkan draf ‘road map’ (peta jalan) termasuk dalam perkara berkaitan manifesto pilihan raya.

“Road map ini sudah pun kita bentangkan dari segi drafnya. Isu-isu penting dalam ‘road map’ itu pun telah kita kemukakan termasuk dalam perkara yang berkait dengan manifesto.

“Road map ini iaitu kita berusaha untuk menggerakkan semua lajnah-lajnah dan portfolio yang kita bentuk supaya semuanya dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihan raya ini.

“Road Map ini bukan sahaja untuk peringkat negeri sebenarnya tetapi akan diperturunkan ke peringkat yang lebih bawah sehingga ke Dun dan cawangan,” jelasnya.

Menurutnya, salah satu agenda PAS dalam lawatan tersebut mengadakan dialog dengan para petugas di peringkat akar umbi.

Apa yang penting, katanya rumusan dari program lawatan ke Dun-Dun tersebut mempunyai kesan yang positif kepada Dun dan cawangan PAS di seluruh negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails