Selamat Datang

Isnin, 2 Ogos 2010

Mazlan: NGO khusus ditubuh bela nasib peserta Felcra



August 02, 2010

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Himpunan Felcra yang julung kali diadakan di Pasir Salak, Perak semalam memutuskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk membela 90,000 peserta Felcra.

Usaha menubuhkan pertubuhan itu yang belum diberikan nama akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri.

Ia antara beberapa ketetapan yang dicapai pada perhimpunan dihadiri kira-kira 300 peserta Felcra dari seluruh negara di Felcra Bandar Seberang, semalam.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman berkata, NGO itu mirip Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang ditubuhkan khusus untuk peneroka Felda sebelum ini.

“Kami memutuskan bahawa perlu ada satu NGO khususnya untuk peserta Felcra, agar nasib mereka dapat dibela dengan baik dan secara tersusun... kami akan melancarkan penubuhan NGO ini selepas Aidilfitri nanti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Katanya, pertubuhan itu akan didaftarkan untuk bergerak secara formal.

Mazlan yang juga Pengerusi Anak berkata, peserta yang menghadiri himpunan semalam merasakan peserta-peserta Felcra telah dinafikan hak mereka selama ini.

“Mereka beranggapan bahawa usaha mengadakan perhimpunan ini oleh PAS adalah langkah yang baik bagi membela nasib mereka, tetapi merasakan perlu ada satu badan khusus untuk membawa isu mereka,” kata Mazlan.

Mazlan mengakui bilangan 300 peserta yang hadir adalah rendah daripada dijangkakan, antara lain disebabkan oleh tekanan dan halangan agar peserta-peserta Felcra tidak menyokong usaha itu.

“Bagaimanapun kami melihat perhimpunan ini telah mencapai matlamat disasarkan walaupun bilangan yang hadir tidak ramai, ramai yang takut untuk hadir... walaupun kuantiti tidak ramai, tetapi matlamat yang dicapai berkualiti,” kata Mazlan lagi.

Selain itu menurut Mazlan, beliau akan menghimpunkan masalah-masalah yang dialami oleh peserta Felcra untuk dikemukakan kepada Suhakam dan agensi-agensi pihak berkuasa yang lain untuk diambil tindakan.

Ia termasuklah penafian hak dan elemen-elemen salah guna kuasa, katanya.

“Kami juga menjangkakan akan mengemukakan satu memorandum meminta campur tangan Suhakam dalam menyelesaikan isu yang dihadapi oleh peserta Felcra,” katanya.

Himpunan Felcra itu dilihat sebagai kempen besar-besaran PAS susulan usaha mengetengahkan masalah berkaitan dengan pengurusan Felda.

Sebelum ini Mazlan yang juga ketua lajnah tanah dan pembangunan wilayah PAS mendakwa Felcra tidak memberi layanan yang baik sebagaimana dialami peneroka Felda.

Kini dianggarkan ada 90,000 peserta Felcra dengan kebanyakannya berada di Perak.

“Ini satu lagi pendekatan mendampingi pengundi Melayu,” kata Mazlan.

Felcra ditubuhkan pada 1966 dengan fokus untuk membangunkan tanah-tanah persendirian dalam usaha memperbaiki taraf orang Melayu di kawasan luar bandar.

Malah agensi ini juga membuka kawasan penempatan dan perladangan baru bagi mereka yang tiada tanah.

Ia dinaikkan taraf sebagai Felcra Berhad, syarikat milik kerajaan pada 1997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails