Selamat Datang

Khamis, 29 Julai 2010

Skandal PKFZ: Liong Sik hadapi tuduhan menipu


TERKINI @ 07:07:42 PM 29-07-2010
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani dan Lee Wei Lian
July 29, 2010

Ling Liong Sik ketika tiba di Mahkamah Sesyen Putrajaya untuk menghadapi tuduhan berhubung skandal projek pembangunan PKFZ petang ini. – Gambar oleh Jack Ooi
PUTRAJAYA, 29 Julai – Bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dituduh berhubung kesalahan berkaitan dengan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Sesyen di sini petang ini.

Pendakwaan ke atas bekas presiden MCA ini dilihat sebagai perkembangan mengejutkan – lama dinantikan ekoran janji Jabatan Penguam Negara akan membawa “jerung besar” – selepas tiga orang didakwa berhubung isu ini akhir tahun lalu.

Ling dipercayai sebagai individu pertama yang memegang gelaran “Tun” didakwa di mahkamah.

Tuduhan yang dikenakan ke atas beliau berkaitan dengan penilaian tanah di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan atau secara alternatif di bawah Seksyen 417 kanun yang sama.

Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek “Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Para wartawan dan jurugambar yang menanti sejak pagi selepas tersebarnya berita seorang kenamaan akan didakwa, hanya mengetahui identitinya apabila Ling tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang.

Beliau yang berbaju biru belang, masuk ke dalam mahkamah pada pukul 4.43 petang dan terus duduk di kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Ling didakwa menipu kerajaan antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri di sini iaitu dengan memperdayakan Kabinet untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega “distribution hub” di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya luas tanah ialah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi, kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456 dan tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah “bayaran tertangguh” selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600), dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/ faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian telah dengan sengaja mendorong Jemaaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Ling meminta dibicarakan apabila tuduhan dibicarakan ke atas beliau.

Peguam Negara memohon beliau diikat jamin RM1 juta dan peguam pembela tidak membantah.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail manakala Ling pula diwakili oleh Datuk R R Sethu.

Di bawah Seksyen 417, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun manakala di bawah Seksyen 418, tidak lebih tujuh tahun.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 September. Isteri Ling, Toh Puan Ena Ling juga hadir di mahkamah hari ini.

Ling akan menjelaskan ikat jamin esok kerana sudah terlewat untuk beliau menyediakan wang jaminan hari ini.

Projek PKFZ dilihat sebagai satu skandal apabila kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membangunkan PKFZ secara sekali gus dan bukannya mengikut fasa merupakan antara sebab kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Katanya keputusan untuk mengeluarkan bon bagi membiayai pembangunan projek berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan dalam kos pembangunan tersebut.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina atas tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang turut menempatkan gudang, blok bangunan dan sebuah hotel empat bintang, diselubungi kontroversi ekoran pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli 400 hektar tanah PKFZ di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan kos RM25 bagi setiap kaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju projek berkenaan.

Isu itu mendapat perhatian umum memandangkan LPK memperoleh pinjaman mudah Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion bagi membiayai projek itu.

Bekas menteri pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu Dewan Rakyat Jun 2009 bahawa keseluruhan kos projek PKFZ, berkemungkinan meningkat kepada RM12.453 bilion menjelang 2051, sekiranya tiada sebarang tindakan campur tangan dan daya usaha untuk mempromosikan PKFZ.

Pada 10 Disember lalu, bekas Pengurus Besar LPK Datin Paduka O.C. Phang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal PKFZ di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Phang sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad didakwa melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan, masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 serta antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Phang, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain beliau tiga yang lain turut didakwa membuat tuntutan palsu berjuta ringgit dalam projek pembangunan PKFZ.

Tiga tertuduh dalam kes itu ialah Law Jenn Dong, 51, bekas pengurus projek KDSB iaitu syarikat kontraktor pembinaan PKFZ, Steven Abok, 51, Ketua Pegawai Operasi KDSB, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 48, dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails