Selamat Datang

Ahad, 18 Julai 2010

PAS tak pernah minta mufti Perak jadi orang tengah temu Umno



Oleh G. Manimaran
July 18, 2010

KUALA LUMPUR, 18 Julai – PAS hari ini menafikan pihaknya pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar mengaturkan perbincangan bersama Umno bagi membincangkan usaha menyatupadukan orang Islam dan Melayu.

“Tidak, PAS tidak pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Tan Sri Harussani sama ada rasmi ataupun tidak rasmi... saya menghadiri banyak mesyuarat peringkat pusat, setahu saya tiada perbincangan untuk menghantar wakil jumpa beliau,” kata Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad.

Idris yang dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, Harussani kemungkinan bercakap berdasarkan perbualan tidak formal dengan beberapa pemimpin PAS tetapi ia tidak direstui oleh parti itu.

“Tak tahulah beliau bercakap di atas kapal terbang, kedai kopi atau semasa kenduri kahwin atau di tepi jalan, tetapi secara rasmi atau formal, memang tiada langsung.

“Bagi PAS, perkara berbincang dengan Umno sudah tutup, tak berbangkit lagi,” tambah beliau.

Malah kata Idris, sesi pemukiman PAS di Port Dickson baru-baru ini juga tidak menyentuh soal perbincangan dengan Umno untuk membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam.

Sehubungan itu Idris meminta Harussani memfokus isu-isu lain yang berkaitan dengan beliau, bukannya menjadi “orang tengah” sebagaimana dilaporkan.

“Apa sebab hendak menjadi orang tengah, Umno hanya memikirkan mengenai PAS bila berada dalam keadaan sukar.

“Ada banyak perkara besar, isu-isu yang perlu dibincangkan dan diatasi oleh mufti... Tan Sri Harussani harus menyelesaikan masalah besar yang lain, tak perlu jadi orang tengah bagi Umno-PAS,” katanya.

“Ketika ditanya sama ada ada pemimpin yang mengusahakan pertemuan antara Umno-PAS dengan meminta Harussani sebagai orang tengah, Idris berkata:

“Kita tidak tahu siapa mereka... tapi PAS tidak meminta mereka adakan perbincangan. Kalau ada pun mereka tidak memaklumkan kepimpinan pusat.”

Semalam, Harussan mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya di Ipoh selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Soal perpaduan Melayu dengan kerjasama antara Umno-PAS muncul sejak pilihan raya umum 2008 dengan ada usaha meminta Harussani menjadi orang tengah.

Harussani pernah mengaku beliau menjadi orang tengah dalam usaha pembentukan kerajaan campuran membabitkan Umno dan PAS di Perak tetapi gagal.

Dalam pada itu, Harakah yang terbit semula hari ini selepas permit penerbitan diperbaharui Kementerian Dalam Negeri Khamis lalu melaporkan ajakan Umno sekadar mahu memecahbelakan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS pusat Nik Zawawi Mohd Salleh menyelar kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal EHwal Khas Agama Islam Lokman Nor Adam yang mendakwa cita-cita PAS merealisasikan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan Umno berbanding dengan DAP dan PKR.

“Kenyataan beliau tidak berasaskan kajian dan realiti sebenar politik dan seolah-olah bersifat dendam kepada PKR dengan cara mengungkit kembali cerita-cerita lama yang tidak ubah seperti pandangan yang lapuk,” katanya.

Nik Zawawi tidak menafikan pandangan tersebut seolah-olah bermotif ingin memecahbelahkan PAS dengan Pakatan Rakyat.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat Taib Azamudden Md Taib berkata, selagi Umno BN belum mengubah dasar perjuangan parti mereka kepada Islam sebenar mereka diharap tidak bermimpi untuk bekerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat itu.

“Kalau atas dasar Islam Umno berhendak bersuara, bila-bila pun kita akan terima,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan pula berkata, Umno perlu membuktikan kesungguhan dan komitmennya dalam melaksanakan Islam dan menolak segala bentuk fahaman kebangsaan atau politik perkauman sempit.

“Apabila dia (Lokman) kata bersatu dengan Umno lebih mudah (untuk laksanakan Islam), maka Umno kena buktikan mereka menerima Islam dan menolak fahaman kebangsaan kerana kita mahu lihat Umno yang dikatakan mahu menegakkan Islam dan meninggalkan segala bentuk fahaman nasionalis yang sempit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails