Selamat Datang

Rabu, 14 Julai 2010

Inkues: Pornthip akan kembali beri keterangan, kata Gobind


July 13, 2010

PUTRAJAYA, 13 Julai — Pakar patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand akan kembali ke Malaysia untuk memberi keterangan dalam perbicaraan inkues kematian Teoh Beng Hock.

Peguam Gobind Singh Deo berkata beliau telah menerima sepucuk surat dari Kementerian Kehakiman Thailand yang mengesahkan bahawa Dr Pornthip akan hadir pada inkues itu.

“Esok, kami akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan ini dan akan memohon tarikh baru bagi membolehkan pakar patologi itu member keterangan,” kata Gobind kepada pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Katanya beliau akan menarik balik permohonan supaya Dr Pornthip (gambar) member keterangan secara langsung menerusi persidangan video.

Inkues itu akan disambung semula esok dengan Mahkamah Koroner akan memutuskan sama ada membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan menerusi persidangan video.

Sebelum ini, semasa memberi keterangan pada inkues itu, Dr Pornthip berpendapat Beng Hock tidak membunuh diri, sebaliknya beliau yakin bahawa 80 peratus lelaki itu dibunuh.

Selepas memberi keterangan itu, Dr Pornthip berkata beberapa pihak tertentu memberi tekanan kepadanya supaya tidak menyambung keterangannya dan beliau bimbang dengan keselamatan dirinya.

Berikutan keterangan Dr Pornthip itu, mahkamah membenarkan mayat lelaki itu dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November tahun lalu.

Proses bedah siasat kedua itu turut dihadiri Dr Pornthip yang mewakili kerajaan negeri Selangor manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh pakar Britain, Prof Dr. Peter Venezis.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails