Selamat Datang

Khamis, 29 Julai 2010

Jangan bertindak terhadap guru ‘pembangkang’



Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 29 Julai: Kerajaan Persekutuan diharap tidak mengambil kesempatan daripada kebebasan guru berpolitik setelah mereka dibenarkan berbuat demikian untuk mengenal pasti penyokong pembangkang dan seterusnya mengenakan tindakan ke atas mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana perkara itu ada pro dan kontranya.

“Boleh jadi mereka (Persekutuan) hendak memberi peluang kepada guru berkenaan bertujuan melihat siapa di kalangan guru-guru tersebut yang menyokong pembangkang dan dengan itu senang diambil tindakan ke atas mereka, dengan menukar atau menurunkan pangkat atau pun menyekat kenaikan pangkat mereka terbabit,” katanya kepada media pada Majlis Penutup Kursus Pemantapan Unit Kaunseling dan Dakwah Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) 2010 di Maahad Muhammadi (Perempuan), di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

Bagaimana pun, Mohd Amar berkata, pada satu segi kerajaan negeri mengalu-alukan sikap terbuka dan perubahan yang ada di kalangan guru.

Ini, katanya kerana selama ini Kerajaan Persekutuan terlalu banyak mengongkong, bukan saja terhadap guru tetapi juga kakitangan-kakitangan awam yang lain dari bergiat aktif dalam politik terutamanya pembangkang.

“Jadi kita berharap apabila ada kelongkaran, ianya boleh memberi ruang kepada orang ramai memilih pegangan politik masing-masing secara bebas dan terbuka.

“Cuma satu perkara yang diharapkan supaya guru-guru itu tidak mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kebebasan itu, berpolitik sehingga ke dalam sekolah, bahkan tugasan di sekolah itu mesti diutamakan,” katanya sambil menegaskan bahawa guru mestilah mengekalkan sifat profesionalisma mereka di sekolah.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan berkata, dalam konteks guru-guru Yik sendiri sehingga ini tidak ada persoalan yang berbangkit apabila mereka bergiat dalam politik.

“Cuma jangan di sekolah. Kegiatan mereka berpolitik di luar sekolah, kita tidak pernah sekat pun.

“Setakat ini, masih belum ada lagi guru-guru Yik yang dikenakan tindakan ekoran aktif dalam politik di luar (waktu persekolahan), walau pun kita tahu ada guru-guru yang terbabit dalam parti Umno yang mengkritik kerajaan negeri dalam pilihan raya, tetapi tidak ada apa-apa tindakan diambil ke atas mereka. Yang penting ialah prestasi guru-guru itu di sekolah, dan itu adalah asasnya,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails