Selamat Datang

Rabu, 14 Julai 2010

Isu pasir: MB Selangor tegur pemimpin Umno



July 14, 2010

SHAH ALAM, 14 Julai — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan penjelasan mengenai isu kegiatan melombong pasir di negeri itu.

Beliau berkata salinan surat itu turut dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid turut menyelar pemimpin-pemimpin Umno yang memainkan isu perlombongan pasir secara haram dan mendakwa kegiatan itu juga berleluasa semasa negeri itu ditadbir Barisan Nasional (BN).

“Isu ini sudah berlarutan selama 30 tahun, ia tidak dapat diselesaikan dalam dua tahun,” katanya kepada pemebrita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya pada Jumaat ini, beliau akan mengeluarkan senarai nama mereka yang menerima lesen untuk menjalankan kegiatan melombong pasir sebelum pakatan pembangkang berkuasa di Selangor pada Mac 2008.

Beliau berkata senarai nama itu akan termasuk penerima dan mereka yang mendapat faedah daripada kegiatan melombong pasir pada 2006, 2007 dan awal 2008.

“Kami akan berikan nama syarikat dan individu (yang menerima lesen),” katanya.

Khalid berpendapat pengurusan syarikat perlombongan pasir milik kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), boleh diperkukuhkan lagi.

Beliau juga berkata sistem pengurusan sedia ada yang diamalkan dalam syarikat itu telah berjaya meningkatkan pendapatan daripada pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai pada 2010 setakat Jun).

Khalid menyelar kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat terhadap kegiatan perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit di daerah Kuala Langat.

“Semasa ditanya mengenai kegiatan itu, operasi perlombongan pasir di kawasan Olak Lempit dikendalikan oleh KSSB,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails