Selamat Datang

Khamis, 15 Julai 2010

Rezab Felda: ANAK buat laporan kepada SPRM pula



Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kemerosotan rezab tunai Felda.

Laporan tersebut dibuat oleh pengerusi ANAK, Mazlan Aliman. Hadir sama ialah kira-kira 10 ali jawatankuasa ANAK dan wakil peneroka Felda dari negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Beliau dan rombongannya tiba di ibupejabat SPRM pada jam 11 pagi dan masuk kira-kira 15 minit selepas itu.

Turut masuk bersamanya ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar, dan seorang wakil peneroka, Tamingin Paiman.

Kira-kira 15 wartawan dan jurugambar tidak dibenarkan masuk dan mereka menunggu di luar pejabat suruhanjaya itu.

Sementara itu, Mazlan yang keluar daripada pejabat tersebut pada jam 11.45 pagi memberitahu pemberita, beliau membuat laporan kepada SPRM bersama dokumen tambahan bagi mendesak siasatan menyeluruh terhadap Felda berhubung isu-isu yang dibangkitkan.

"Saya tidak boleh ceritakan secara terperinci, tetapi saya nak maklumkan ia berkaitan kenyataan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Ahmad Maslan di Parlimen," katanya.

Katanya, laporan kepada SPRM adalah lanjutan kepada laporan polis yang dibuat berhubung isu tersebut sebelum ini.

Lebih kurang 80 laporan polis dibuat berhubung perkara itu, tambah Mazlan.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, antara dokumen tambahan yang diserahkan adalah berhubung dakwaan pecah amanah, salahguna kuasa dan penyelewengan, antaranya di Felda Sungai Buaya dan Gedangsa di Hulu Selangor dan Felda Lurah Bilut di Pahang.

"Ini sebahagian daripada kes yang diserahkan," katanya sambil mendesak supaya SPRM membuat siasatan segera terhadap aduan tersebut.

Menurut Mazlan, akan ada lagi dokumen yang akan diserahkan kepada suruhanjaya tersebut.

Katanya, SPRM akan memanggilnya untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.

Beliau juga berjanji kepada suruhanjaya itu untuk membawa saksi-saksi yang berkaitan.

"(Jumlahnya) bergantung kepada SPRM dan kita ada 'point' yang cukup kuat (berhubung perkara itu)... Kita akan beri kerjasama," katanya.

Menurut Mazlan, laporan dan dokumen yang diserahkan itu, diterima oleh dua pegawai penyiasat SPRM hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails