Selamat Datang

Ahad, 18 Julai 2010

Rakyat desa berjimat, pemimpin bermewah



Hasan Husaini
Tanggal 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel. Mungkin itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. Walaupun alasan yang diberi ialah kerana kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ramailah yang bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah dengan menunggang kuda. Yang malang ialah mereka yang bersetuju malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.

Pada 16 Julai 2010, harga barang naik lagi dengan alasan penyelarasan subsidi. Pelik benar. Andai penjimatan yang menjadi agenda utama, maka bukanlah pakcik dan makcik di kampung yang perlu diajak berjimat. Bahkan para pembesar nun di singgahsana yang wajib turun merasai bagaimana lazatnya nasi putih beras usang bersama ulam pucuk ubi kayu.

Saya menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman cetek ketika berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai pengeluar minyak, Arab Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan harga di Malaysia. Rs10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol. Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting negara kita adalah negara pengeluar minyak.

Bukan sekadar itu, negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana keuntungan getah? Di mana keuntungan minyak mentah?

Maka untuk menutup kemarahan rakyat, PM pun mengarahkan media agar tidak menggunakan istilah harga barang naik. Kalimah itu digantikan dengan penyelarasan subsidi. Ustaz dan ustazah pula diarahkan menyelinap masuk dalam masyarakat sama ada dalam media elektronik, media cetak, malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan ceramah dan forum supaya berjimat cermat. Maka berbondong-bondonglah ustaz dan ustazah hadhari tampil dengan upah yang tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup. Sedangkan panel penceramah, penganjur, ahli VIP yang hadir serta penganjur masih dalam dunia membazir.

Ketahuilah bahawa Allah tidak pernah sekali-kali mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, kecuali kepada si pembazir, maka Allah berfirman (maksudnya), “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.

Suka untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan yang keterlaluan.

Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan' pada Jun 2008, "Tidak relevan memotong elaun menteri, bukan sampai bilion pun". Ya, memang rakyat tahu, elaun menteri tak sampai bilion, sebab itulah rakyat nak ia dipotong. Mana kesanggupan pemimpin untuk bersama rakyat kalau masih menikmati elaun?

Pada 17 Julai 2010, seorang menteri juga beralasan dengan cara yang tidak cerdik mengatakan bahawa tidak patut untuk negara membelanjakan RM1 bilion demi memberi subsudi kepada barangan yang boleh membawa penyakit.

Dalam usaha menjaga ekonomi negara, kerajaan lebih rela meletakkan beban yang berat ini ke atas rakyat bawahan yang cukup lemah. Sedangkan, dalam masa yang sama, sebuah istana bernilai hampir satu bilion ringgit sedang dibina. Walhal istana lama masih 100 kali lebih mewah dari rumah paling cantik di desa sana.

Saya amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja Zahir mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelengkapan perang demi mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak seperti ustaz dan ustazah hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan pemerintah.

Beliau berhujah bahawa beliau akan membenarkan si raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan, gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan, namun kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas membuang Imam Nawawi ke luar negeri.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah wilayah Islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata.

Samalah juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat cermat apabila tiba musim kemarau, musim Ramadh, selama hampir 9 bulan. Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan keju, meminum susu bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi contoh tauladan kepada umat Islam hidup dalam keadaan sederhana.

Itulah gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan sendiri, bukan hanya dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat. Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda, bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit rakyat!

Bagaimana patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran kenaikan harga gula dan kenaikan mendadak harga minyak.

Tertarik saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur pembesar negara supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eksklusif yang melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai jutaan ringgit. Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita?

Bayangkan Datuk Seri Najib berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus kemudian menyantap di meja mewah bersama orang-orang besar kerajaan? Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah ianya hasil dari penjimatan pakcik dan makcik yang hanya makan nasi berulamkan pucuk ubi kayu? Bukankah lagi patut Datuk Seri Najib meniru gaya seorang MB yang hanya makan nasi goreng dalam polisterin?

Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat-cermat, sedangkan mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih mereka untuk kesekian kalinya?

Penulis adalah penuntut di Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails