Selamat Datang

Selasa, 27 Julai 2010

Hamil: Di mana kejujuran pemimpin, ulama kerajaan



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Isu pelajar mengandung, pengguguran dan pembuangan bayi telah meresahkan keharmonian masyarakat dan menunjukkan musnahnya institusi kekeluargaan negara, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

Justeru itu, katanya PAS menggesa masyarakat agar mengambil langkah-langkah bagi melaksanakan perintah amar maaruf dan nahi mungkar dengan sebaiknya dan menggesa rakyat, khususnya umat Islam menunaikan amanah dengan memilih kerajaan yang jujur dalam menegakkan kesejahteraan dan keadilan rakyat.

“Perlu diingatkan bahawa undang-undang Islam dan feqah Islam mampu bagi menangani isu-isu sebegini,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan di mana kejujuran mereka yang memimpin negara dan ulama dalam kerajaan yang mengabaikan keperluan menyelesaikan masalah secara Islam.

Abu Bakar menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mahu menubuhkan sekolah untuk pelajar hamil.

“Kenyataan ini menunjukkan betapa sangat seriusnya isu pelajar perempuan mengandung disebabkan perzinaan dan pengguguran bayi berlaku secara berleluasa di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, jarang berlaku pertembungan kenyataan di antara menteri atau timbalan di peringkat pusat dengan menteri besar atau ketua menteri.

“Tetapi dalam kes ini, Ketua Menteri Melaka bertegas untuk menubuhkan sekolah khas walaupun disanggah oleh Timbalan Menteri Pelajaran,” katanya.

Menurutnya lagi, adalah amat malang bagi umat Islam apabila berhadapan dengan isu pembuangan bayi dan mengandung kerana perzinaan tidak ditangani sewajarnya berdasarkan sebab-sebab asal berlakunya masalah ini; seperti pergaulan bebas, hiburan liar dan wujudnya pusat-pusat maksiat di segenap pelusuk negara.

Beliau menambah, alangkah baiknya jika langkah-langkah pencegahan dilakukan di samping langkah pemulihan dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails