Selamat Datang

Jumaat, 6 Ogos 2010

SPR wajar daftar pemilih automatik

Mohd Nasir Awang

Semakin sukar dimengertikan apa lagi yang membelenggu para penguasa di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga masih sukar mempertimbangkan cadangan agar pendaftaran pemilih baru dibuat secara automatik. Setelah badan itu sendiri bagaikan kehabisan idea menyelesaikan masalah tahap pendaftaran pengundi baru yang terlalu tidak memuaskan, apa juga kemungkinan merungkai permasalahan tersebut sepatutnya diperhalusi.

Akhir Jun lalu, SPR mendedahkan terdapat kira-kira 4.3 juta warga negara yang berusia 21 tahun ke atas, yakni layak mengundi, tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu. Isu berkenaan dihangatkan lagi oleh pendedahan kononnya pengundi Melayu adalah yang paling malas melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Pemuda Umno mendakwa hasil kajiannya sejak PRU 2008 sehingga Jun lalu menunjukkan nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi baru adalah satu Melayu bagi 40 bukan Melayu (1:40). Barang dimaklumi, di negara ini setiap perkara apabila dikaitkan dengan soal kepentingan Melayu, ia mudah menjadi hangat dan mendapat perhatian pucuk pimpinan negara.

Biar pun nisbah itu dipertikaikan, ia sekurang-kurangnya telah mencetuskan perbincangan dan ulasan berjela-jela pelbagai pihak. Suatu yang agak disepakati, jumlah 4.3 juta warga negara yang tidak mengambil serius soal tanggungjawab menentukan pemerintahan negara agak merisaukan, jika pun tidak memalukan.

Apatah lagi angka itu tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah diumumkan SPR lebih tiga tahun lalu. Kita masih ingat awal April 2007, iaitu tidak sampai setahun sebelum berlangsungnya PRU 2008, SPR mendedahkan seramai 4.9 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pengundi. Angka itu membentuk hampir sepertiga warga negara yang layak mengundi ketika itu, iaitu seramai 15.2 juta orang.

Keengganan sebegitu ramai rakyat menunaikan hak dan tanggungjawab menentukan kepemimpinan negara bukan lah suatu kecenderungan yang sihat atau boleh dipandang remeh. Pelbagai pihak tampil dengan pandangan dan andaian sendiri mengenai sebab-musabab kegagalan mereka mendaftar sebagai pemilih.

Paling bising dan kecoh ialah para pemimpin parti pemerintah. Mangsa utama dipersalahkan mereka ialah SPR. Selaku badan dipertanggungjawab mengendalikan pilihan raya negara, SPR sukar menepis tanggapan bahawa ia telah gagal mengemukakan jalan penyelesaian yang baik dan berkesan.

Suatu ketika dulu pernah dibangkitkan soal kesukaran proses pendaftaran sebagai punca rakyat gagal berbuat demikian. Lalu SPR memperkenalkan langkah pembaharuan bagi memudahkan proses itu. Ia melaksanakan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST).

Sistem ini mula dilaksanakan Julai 2002. Melalui SPPST, setiap warga negara bermur 21 tahun ke atas dan tidak hilang kelayakan sebagai pengundi pada bila-bila masa boleh mendaftar melalui kaunter-kaunter pendaftaran pemilih di seluruh negara.

Selain di pejabat-pejabat SPR, pendaftaran pemilih juga boleh dibuat di pejabat pos, unit bergerak SPR dan kaunter khas yang dibuka di pusat-pusat tumpuan awam dan kawasan pedalaman. Parti-parti politik juga diberi kebenaran dan kemudahan oleh SPR membantu mendaftarkan pengundi baru, terutama menerusi pelantikan wakil parti sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang diiktiraf SPR.

Malangnya lambakan warga negara yang gagal mendaftar sebagai pemilih tetap berulang. Sebulan lalu ia sekali lagi menjadi keluhan pelbagai pihak, terutama pemimpin politik.

Banyak alasan dan andaian kita dengar. Beberapa dakwaan itu membabitkan sikap pengundi itu sendiri, manakala sebahagian lain mengaitkannya dengan kelemahan sistem pendaftaran diamalkan SPR.

Di antara kelemahan yang dianggap punca utama sebahagian mereka yang layak itu enggan mendaftar sebagai pemilih ialah peraturan memestikan pengundi mendaftar mengikut alamat pada kad pengenalan.

Beberapa minggu lalu SPR mengumumkan usaha pembaharuan dalam pendaftaran. Tempoh pengesahan pendaftaran pengundi baru disingkatkan kepada hanya sebulan. Sebelum ini, tempoh itu memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan.

Belum pun sempat kita menilai keberkesanan langkah terbaru itu, SPR tampil dengan cadangan lain pula sebagai usaha tambahan menarik pendaftaran lebih ramai pemilih baru. Ahad (1 Ogos) lalu, badan itu mencadangkan agar kadar bayaran kepada PPP yang berjaya mendaftar pemilih baru dinaikkan daripada RM1 sebelum ini kepada RM3. SPR mendakwa cadangan itu adalah permintaan parti-parti politik.

“Apabila SPR mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil parti politik, NGO dan jabatan, mereka minta supaya kadar ini dinaikkan. Bayaran RM1 yang sebelum ini sudah lama (tidak dinaikkan),” media pada Selasa memetik kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi kurang menyenangkan pelbagai pihak. Banyak yang menyifatkan pelaksanaan cadangan itu akan membazirkan wang negara. Dengan jumlah 4.3 juta pemilih belum mendaftar tadi akan melibatkan belanja lebih RM12 juta.

Kesediaan SPR meraikan permintaan melibatkan perbelanjaan tambahan berjuta ringgit itu sebenarnya menyukar kita mengerti apa sebenarnya yang menghalang SPR menimbang cadangan agar pendaftaran pemilih dibuat secara automatik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara. Setiap warga negara yang mencapai umur 21 tahun akan dimasukkan nama mereka secara automatik sebagai pengundi sah. Proses ini dilakukan sepenuhnya oleh SPR dan JPN, tanpa lagi melibatkan parti-parti politik atau pihak lain.

Kita percaya jika kaedah ini digunakan, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah keciciran sebegitu ramai warga negara daripada hak menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin, malah akan turut menyelamatkan perbelanjaan negara berjumlah belasan juta sepertimana dicadangkan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails