Selamat Datang

Khamis, 5 Ogos 2010

Mahkamah tolak petisyen Zaid cabar kemenangan calon BN


TERKINI @ 03:17:20 PM 05-08-2010
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
August 05, 2010

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Mahkamah Tinggi pagi ini menolak petisyen dibawa oleh Datuk Zaid Ibrahim terhadap kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.

Hakim Azahar Mohamed berkata Zaid, sebagai pempetisyen, gagal untuk menyenaraikan identiti penerima sogokan yang diberikan oleh BN ketika kempen.

Azahar berkata petisyen yang difailkan oleh Zaid (gambar) “cacat secara fundamental” dan mahkamah merasakan responden tidak seharusnya respons kepada “tuduhan-tuduhan yang cacat.”

Petisyen terhadap Kamalanathan difailkan di bawah Seksyen 10(a), 10(c) dan 10(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lepas dan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan daripada BN, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah, kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.

Dalam hujahnya sebelum ini, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Kamalanathan ketika menjawab hujah peguam Zaid berkata, pempetisyen gagal menunjukkan dalam afidavitnya elemen janji dan tawaran yang menyebabkan pengundi Hulu Selangor mengubah fikiran mereka untuk tidak mengundi beliau.

Beliau juga berhujah mengenai alasan teknikal dan pentadbiran iaitu bagaimana petisyen itu diserahkan dan difailkan, yang menurutnya adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili Zaid pula berkata, mahkamah tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap kes petisyen pilihan raya yang telah dibatalkan ketika mendengar permohonan itu, tetapi perlu menetapkan satu dasar dalam menolak permohonan sedemikian dengan terus mendengar keterangan serta bukti melalui satu perbicaraan penuh.

Firoz sebelum ini berkata hampir 90 peratus petisyen telah dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya tanpa perbicaraan penuh dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Di luar mahkamah, Kamalanathan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepadanya untuk terus berkhidmat di Hulu Selangor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas restu-Nya.

“Apa yang berlaku hari ini ditentukan oleh Tuhan. Saya merasakan keputusan hari ini adalah keputusan Tuhan.

“Sekarang saya boleh panggil diri saya sebagai Ahli Parlimen bagi Hulu Selangor,” katanya.

Azhar pula berkata keputusan hari ini menunjukkan yang BN tidak pernah terbabit dalam amalan rasuah umum.

“Pada hari ini, hakim bersetuju bahawa janji-janji pembangunan tidak boleh dianggap sebagai (satu bentuk) sogokan.

“Oleh itu, adalah jelas kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh perdana menteri, yang juga menteri kewangan, adalah kenyataan-kenyataan yang secara khusus ditujukan untuk membantu rakyat dan tidak boleh dianggap sebagai tindakan memberikan sogokan,” kata Azhar.

Bagaimanapun peguam Zaid, Azahar Azizan Harun kekal dengan pendirian bahawa responden telah melakukan sogokan umum.

Katanya, hakim menolak petisyen atas alasan-alasan teknikal.

Malah kata beliau, mahkamah tidak menolak tiadanya amalan rasuah atau sogokan umum ketika kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails