Selamat Datang

Rabu, 4 Ogos 2010

Konvensyen tumpu tingkat sokongan PAS



Harakahdaily

IPOH, 4 Ogos: Fokus utama perbahasan Konvensyen PAS Perak kali ini lebih kepada bagaimana meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS dan pembinaan pengaruh parti dalam masyarakat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Mohd Misbahul Munir Maduki berkata, konvensyen kali ke-15 dan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden diadakan pada 6 dan 7 Ogos ini di Dewan Kutien, Ayer Tawar bagi membuat persediaan seluruh ahli menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Katanya, majlis perasmian pada 6 Ogos yang bermula jam 8.00 malam akan disempurnakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Sudah tentu perkara yang akan dipertegaskan oleh Salahuddin adalah berkaitan isu perpaduan Umno-PAS yang menjadi isu kini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, tema 'Islam Adil Untuk Semua' menjadi pilihan PAS Perak bagi memastikan gerak kerja parti di semua peringkat menumpukan tawaran tersebut bagi mendekati pengundi-pengundi manakala ucaptama pesuruhjaya, Ustaz Abu Bakar Hussien akan merungkai agenda PAS Perak melalui tema bersama itu.

Tambahnya, banyak perkara yang akan disentuh oleh para peserta terutama kerjasama Pakatan Rakyat (PR) di Perak, kekuatan jentera pilihan raya PAS, kemelut Perak yang masih tidak selesai dan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Katanya, seluruh pimpinan peringkat parti yang terdiri daripada Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat termasuk daripada 24 PAS kawasan seluruh Perak.

Katanya lagi, kehadiran peserta konvensyen kali ini dijangka lebih seribu orang berbanding tahun lepas kerana ketua-ketua cawangan PAS seluruh akan turut menyertai sebagai perwakilan PAS kawasan-kawasan.

PAS Perak, ujarnya memberi peluang kepada seluruh ketua PAS cawangan mengikuti konvensyen dari awal hingga akhir yang akan mendengar sendiri ucapan-ucapan penting daripada Naib Presiden PAS, Pesuruhjaya PAS Perak, pembentangan dua kertas kerja dan perbahasan dari para perwakilan.

Katanya, konvensyen akan berakhir dengan resolusi yang berupa tindakan kerja yang mesti dibuat oleh jentera PAS di semua peringkat dan akan turut diikrarkan di penghujung program konvensyen.

“Bagi pihak PAS Perak, saya mengharapkan semua yang terlibat akan menyumbang kebangkitan PAS dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke-13 nanti,” ujarnya yang juga pengarah program.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails