Selamat Datang

Ahad, 1 April 2012

Umno punca ugutan terhadap Guan Eng

Zairil Khir Johari , 01 Apr 2012
Keselamatan awam Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh diambil ringan ekoran fitnah bahaya dan rasis yang dimainkan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia bahawa kononnya Lim Guan Eng telah menyebabkan kehilangan tanah masjid.
Susulan daripada itu, Guan Eng sendiri telah diancam secara peribadi oleh Perkasa dan pemimpin-pemimpin Umno yang mengugutnya dengan keganasan dan bahasa yang penuh kebencian.

Fitnah-fitnah ini telah disiarkan secara berulang kali di kaca televisyen serta media cetak kawalan BN untuk mencetuskan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam, khususnya terhadap Lim Guan Eng.


Fitnah Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang bahawa Ketua Menteri telah menjual atau melenyapkan tanah masjid tidak boleh diambil ringan seperti jenaka April Fool.

Walaupun Ketua Menteri telah membidas dakwaan ini sebagai fitnah terdesak oleh Umno Pulau Pinang untuk memenangi kembali sokongan orang Melayu di Pulau Pinang, Umno, TV3 dan Utusan Malaysia masih lagi meneruskan usaha untuk menyiarkan fitnah bahaya ini.

Media kawalan BN bukan sahaja tidak menyiarkan kenyataan balas Ketua Menteri, malah kenyataan penjelasan oleh Datuk Seri Nazir Ariff, timbalan pengerusi pemaju yang telah memenangi tender terbuka untuk tanah Bayan Mutiara 102.3 ekar juga tidak disiarkan. Ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

Ramai di antara rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, berasa terganggu dengan fitnah-fitnah yang dimainkan ini, dan telah minta penjelasan daripada Ketua Menteri. Mereka berasa amat terkejut apabila mereka sedar bahawa dakwaan-dakwaan ini hanyalah fitnah jahat Umno dan lantas menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan Ketua Menteri.

Tidakkah tindakan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia untuk memainkan fitnah perkauman dan agama terhadap seorang pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam ini boleh dianggap sebagai tindakan yang berdosa?

Yang lebih teruknya, ia juga boleh menjejaskan keselamatan Ketua Menteri. Ramai orang awam, terutamanya yang beragama Islam, sudah pun menasihati supaya Ketua Menteri lebih berhati-hati.

Dua hari lalu, iaitu pada hari Jumaat, Perkasa telah melakukan demonstrasi terhadap Ketua Menteri atas dasar fitnah-fitnah tersebut di Komtar.

Saya telah dimaklumkan bahawa Perkasa telah berkelakuan secara tidak beradab dan ganas, sampai mengugut untuk menentang Ketua Menteri secara peribadi seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times pada 31.3.2012 sekiranya Ketua Menteri tidak menjawab dalam masa 7 hari.

Adakah Perkasa akan menganjurkan demonstrasi yang sama dan membuat ugutan yang sama terhadap Umno jika dakwaan-dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah dan pembohongan?

Ugutan ganas Perkasa terhadap Ketua Menteri inilah yang dibimbangkan penyokong-penyokong Ketua Menteri yang beragama Islam. Untuk sebab ini, Umno, TV3 dan Utusan Malaysia diberi amaran bahawa mereka akan bertanggungjawab sekiranya keselamatan Ketua Menteri terjejas.

Pihak polis juga harus mengambil berat tentang impak fitnah-fitnah Umno yang mungkin menjejaskan keselamatan Ketua Menteri.

Ini bukanlah kali pertama Ketua Menteri diserang dengan fitnah. Malah, anaknya juga telah difitnah oleh Umno-Online yang mendakwa bahawa beliau telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan dan juga kononnya Ketua Menteri telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal tersebut.

Walaupun kejadian ini telah dibuktikan sebagai fitnah, sampai sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak polis.

Fitnah Umno terhadap Ketua Menteri ini boleh dikaitkan dengan seminar anjuran Jabatan Pelajaran Johor atas “ancaman Kristianisasi” kepada orang Islam.

Walaupun tajuk seminar telah ditukar, cubaan untuk memomokkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu ini adalah sangat bahaya dan hendaklah dihentikan.

Tindakan ini juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan Perdana Menteri, Datuk Srri Najib Tun Razak dan tidak serasi dengan objektif untuk membangunkan masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan harmoni.

Zairil Khir Johari ialah Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails