Selamat Datang

Isnin, 2 April 2012

FGVH: Anak akan terus fail injunksi

Hazayani Zakaria dan Khairil Rahim, 02 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 2 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) tidak patah semangat meskipun permohonan injunksi yang difailkan lapan peneroka ditolak Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Permohonan injunksi tersebut bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

(Gambar: Peguam Harris memberi penjelasan kepada Tuan Ibrahim, Nasrudin dan Mazlan mengenai keputusan mahkamah itu.)

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, keputusan mahkamah tersebut bukan bermakna kerajaan boleh meneruskan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia sebaliknya hanya membenarkan KPF mengadakan mesyuarat agung luar biasanya.


"Anak menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Walaupun hari ini permohonan ditolak, tidak bermakna kita kalah. Kita ada banyak langkah lagi.

"Walaupun permohonan injunksi kali ini ditolak, kalau KPF mahu adakan EGM mereka dan dalam notis ada bagitahu akan bincang mengenai penyenaraian FGVH, kita boleh fail injunksi lagi," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu kata Mazlan, pihaknya akan menunggu notis panggilan mesyuarat KPF sama ada akan membincangkan usul penyenaraian FGVH atau tidak.

"Biasanya notis akan keluar dalam masa 14 hari. Kita tunggu, dan jika dalam notis ada usul bincang penyenaraian, kita akan fail injnksi lagi," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut beliau juga, hakim turut mencadangkan Anak merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana melibatkan pertikaian di antara peneroka dengan Felda.

Saman 3 pemimpin

Mazlan juga berkata, Anak akan memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad kerana mengeluarkan kenyataan menghina mahkamah.

"Najib, Isa Samad dan Ahmad Maslan berulang kali menyebut akan meneruskan penyenaraian FGVH sebelum ini walaupun kes dalam perbicaraan mahkamah," jelas beliau.

Katanya, permohonan mahkamha itu akan dibuat pada 10 April ini.

Sementara itu, peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili kumpulan peneroka tersebut, berkata Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu setelah meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak.

"Injuksi ditolak atas beberapa alasan iaitu pertamanya mesyuarat yang diadakan pada 22 Februari hanya mengatakan bahawa satu perbincangan akan diadakan tanpa menjelaskan bahawa satu keputusan akan dibuat. Bukan seperti mana mesyuarat yang telah diadakan pada 5 Januari lalu.

“Mesyuarat pada tarikh itu (5 Jan) mengatakan KPF akan meluluskan usul untuk memindahkan ekuiti. Tapi dalam mesyuarat pada 22 Februari hanya perbincangan saja. Jadi mahkamah berpendapat di situ tiada isu untuk dilarang. Takkan kita nak larang orang berbincang, melainkan kalau agenda dia sama seperti pada 5 Januari maka kita boleh larang mereka lakukan perkara tu.

“Belum ada lagi cadangan untuk lupus. Cadangan pertama dah dibatalkan, cadangan kedua ni tak ada lagi.. baru nak bincang boleh ke tak boleh. Kalau kita buat keputusan boleh, mungkin kemudian dia akan buat mesyuarat untuk dapatkan resolusi  lupuskan benda tu belum berlaku. Jadi mahkamah tak boleh buat anggapan mengatakan benda tu akan berlaku dan larang sekarang", katanya.

Harris menambah, penyataan bahawa perlupusan aset KPF bernilai RM3.13 bilion itu tidak disokong dengan bukti atau dokumen rasmi menyebabkan Hakim menolak permohonan tersebut.

"Jika adapun dokumen tersebut itu mungkin di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi). Macam mana kita nak ketengahkan kalau kita ada pun. Lepas tu kalau kita ada kita akan ditangkap. Keduanya, dia (Felda) tak akan bagi sebab semua itu terhad dan sulit.

“Jadi bermakna sekarang ini permohonan yang kita buat hanya bersandarkan kepada spekulasi dan khabar angin, sebab kita tak dapat buktikan. Tapi saya tak salahkanlah dengan peneroka yang bawa kes tuu.. sebab mereka pun tak dapat.. tapi kita tahu benda tu akan berlaku. Hanya kini kita tak dapat buktikan apa yang akan berlaku", kata beliau.

Harris berkata, di bawah Seksyen 82-2 Akta Koperasi mengatakan bahawa kalau ada perjalanan mesyuarat atau pun perniagaan yang tidak betul dalam mana-mana koperasi hanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang berkuasa menghalang.

Tambahnya di bawah Seksyen 47 Undang-Undang Kecil Persatuan mengatakan jika berlaku kesilapan atau merugikan maka Ahli Lembaga Pengarah harus bertanggungjawab tanpa sebarang liabiliti.

“Ini bermakna kalau apa-apa berlaku kepada peneroka, kita serang Lembaga Pengarah tapi kemudian bukan sekarang. Itulah alasan-alasan yang telah diberikan oleh hakim untuk menolak permohonan injunksi.

“Kita akan bincang tindakan kita selepas ini sama ada akan merayu keputusan ke Mahkamah Rayuan atau pun kami akan berhenti di sini", tambah Harris lagi.

Disember lalu peneroka terbabit yang kesemuanya ahli KPF dari Felda Gugusan Jengka telah memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Saman tersebut adalah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.

Pada asalnya mesyuarat khas KPF itu dikatakan adalah untuk mengesahkan status Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF dan meminta sokongan ahli KPF bagi pelupusan ekuiti koperasi itu dalam Felda Holding untuk tujuan penyenaraian FGVH ke dalam Bursa Malaysia.

Hasil daripada injunksi tersebut mesyuarat KPF dibatalkan dan diganti dengan majlis dialog.

Sementara itu di mahkamah hari ini kira-kira 100 orang peneroka hadir untuk memberi sokongan.

Selain Mazlan, turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Ahli Lembaga Pengarah KPF Datuk Zainal Hassan, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails