Selamat Datang

Jumaat, 6 April 2012

Bakal catat sejarah: Bersih 3.0 ibu segala himpunan

http://msomelayu.blogspot.com, 05 Apr 2012
Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) akan meneruskan himpunan awam bagi menuntut proses pilihan raya bersih dan adil di negara ini. Himpunan itu dijangka diadakan pada 28 April ini venuenya di Dataran Merdeka, waktunya jam 2:00 petang. Tarikh itu juga khabarnya serta dengan Himpunan Hijau 3.

Ada sedikit kelainan dalam himpunan Bersih 3;0 bertema Duduk dan Bantah kali ini di mana tiada perarakan tetapi berhimpun beramai-ramai di Dataran Merdeka. Tidak dapat dipastikan apakah himpunan itu akan membawa kepada himpunan berterusan hingga menjelang tengah malam beberapa hari.

Sasterawan Negara Pak Samad Said akan mengepalai himpunan Bersih 3:0 kali ini. Sebanyak 84 buah Ngo akan bergabung tenaga membuat desakan itu. Samad menjangkakan himpunan itu akan melibatkan 500,000 peserta. Wah kalau ini menjadikan kenyataan negara bakal mencatat sejarah baru dan ia ujian kepada Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan oleh parlimen baru-baru ini.

Sejauh mana akta itu akan berdiri atas prinsip undang-undang ataupun akta Perhimpunan Aman itu bakal menjadi satu sejarah baru pulak.

Bersih menuntut lapan perkara utama dipenuhi oleh kerajaan bagi memastikan pilihan raya di negara ini berjalan dengan aman, bersih dan adil sesuai dengan prinsip dan paksi demokrasi.

* Bersihkan senarai undi. *Memreformasikan undi pos. *Guna dakwat kekal. *Akses media bebas dan adil. *Kukuhkan institusi awam. *Hentikan rasuah. *Hentikan politik kotor.

Itulah lapan tuntutan yang dituntut oleh Bersih tetapi ia tampak sukar dan liat untuk dipenuhi oleh kerajaan. Kenapa kerajaan begitu liat untuk memenuhi tuntutan itu? Di sinilah menimbulkan tanda tanya dan tanggapan negatif kenapa ke lapan-lapan subjek itu dikekalkan. Apakah kerana ia memberi keuntungan dan demi kepentingan parti yang memerintah.

Memanglah dari satu sisi himpunan begitu tidak berapa kondusif untuk negara kerana akan memberi persepsi kepada dunia luar bahawa keadaan demokrasi kita berkecamukan. Tanggapan kepada demokrasi memberi gambaran politik kita tidak stabil. Ketidakstabilan poltiik pula menyebabkan wujud implikasi lain, pelabor tidak berapa berminat untuk datang melabor ke negara ini.

Ketiadaan pelabor menyebabkan pendapatan negara berkurangan. Sebagai sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia kita memerlukan hubungan dagangan dengan dunia luar. Bantuan pelaboran untuk membuka industri dan menanam modal adalah (subjek) asas untuk negara ini berkembang maju. Dan untuk memanggil mereka ianya memerlukan kestabilan dan keamanan politik selain daripada kredibiliti dan juga ketelusan kerajaan.

Kurangnya penghasilan negara menyebabkan negara miskin dan rakyat susah. Kesusahan rakyat menjadikan negara kita terkebelakangan dan mundur. Kemunduran meletakkan negara kita di corot dapur dunia.

Menyedari rangkaian dan natijah itu semua pihak kena faham. Penganjur Bersih kena sedar dan melihat kesulitan negara jika senario itu berlaku. Kena hitung juga sudah berapa banyak kita membazirkan masa, tenaga dan wang hanya untuk berpolitiking dan menguruskan sesuatu yang remeh dan tidak memberi kelabaan banyak kepada negara dan bangsa.

Begitu juga di sebelah kerajaan juga kena fikir dan mengambil kira apa sebab berlaku tuntutan itu. Tentu ia ada sebab musabab dan faktor menolaknya. Kerajaan yang bijaksana akan mengelak keadaan-keadaan mengacau begini dari berlaku. Dengan terus bersikap dan egois ia tidak mencerminkan sebuah kerajaan yang diplomasi dan toleransi.

Mengikut teori akal tanpa ada motif lain untuk mengatasi isu himpunan dan tuntutan lapan perkara itu sangat mudah diuraikan. Penuhkan tuntutan lapan perkara Bersih itu maka himpunan yang boleh memungkinkan huru-hara berlaku akan senyap. Bersih tidak akan melaung dan bertempik atau duduk sambil mendesak.

Kenapa sulit sangat untuk melayaninya?

Penubuhan PSC untuk membaikpulih dan menambah nilai pilihan raya tidak membawa hasil yang dihajatkan. Apabila tuntutan utama Bersih tidak dilayan menyebabkan PSC itu seolah-olah dijadikan gula-gula untuk memujuk rakyat. Kelulusan laporan oleh PSC tanpa dibahas di parlimen membuktikan bahawa tiada persepakatan bersama di antara kerajaan dan pembangkang. Cara parlimen handle PSC itu menggambarkan parlimen juga seakan tidak mahu kepada perdamaian politik?

Malahan apa yang berlaku di parlimen sungguh menyesal dan 'mentahi babikan' bila mana Speaker menggunakan sepenuhnya kuasa prerogatifnya untuk menghalau wakil rakyat pembangkang keluar dewan apabila ucapan salah seorang mereka dikira menyentuh dan mencabar speaker.

Speaker tidak sepatutnya menghalau mereka walaupun relatif mereka melakukan kesalahan, apa lagi tindakan itu akhirnya hasil yang dirunding dan dipersetujui bersama dalam PSC itu tidak diterima secara konrit dan semua pihak. Sepatut speaker Pendikar Amin Mulia dapat menahan kan diri dan tidak merasa tercabar dengan sindiran Mohamad Azmin Ali.

Seorang speaker bukan saja harus adil dia juga kena sabar dan bijaksana. Jangan kita memikul jawatan itu kerana kelangsungan politik kita dan juga kerana ingin mencari keuntungan dari jawatan itu. Bila anda berada di kerusi emas speaker anda menjaga kepentingan negara dan bukan menjaga kepentingan mana-mana pihak.

Tindakan Bersih kali ini lebih relevan dan tanggung kerana mereka dipermainkan menerusi PSC itu. Mereka diajak berunding bersetuju kemudian mereka dikencing. Lebih baik dari awal lagi PSC itu tidak ditubuhkan sebaliknya kerajaan harus bersedia untuk berhadapan dengan Bersih. Untuk itu polis siapkan lapangan, mungkin seperti Bukit Jalil untuk dijadikan penjara sementara untuk mengurung para ahli himpunan. Tender untuk menyediakan air dan minuman juga boleh dilakukan. Kontraktor kelas F berjiwa Umno masih ramai yang belum dapat projek tender itu boleh diberikan kepada mereka.

Atas kepentingan itu, kerana itu saya kira Bersih 3.0 adalah kemuncak kepada segala himpunan di negara ini. Kalau Bersih 1.0 berjaya menghimpunkan seramai 65,000 Bersih 2.0 seramai 30,000 mungkin Bersih 3.0 ini akan mencecah angka 100,000. Seandainya apa dihajati Pak Samad itu menjadi kenyataan , berpakat duduk dan bantah di Dataran Merdeka mungkin Merdeka Spring akan berlaku.

Kalau ini berlaku (minta dijauhkan) kerajaan (UBN) perlu bertanggungjawab kerana mereka telah mengheret rakyat ke tahap jihad untuk menentang kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails