Selamat Datang

Rabu, 4 April 2012

Anak muda akan jadi tulang belakang Bersih 3.0


BIARPUN telahan terhadap Bersih 3.0 telah bermula dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengatakan Bersih 3.0 adalah perhimpunan haram, Anak Muda Malaysia akan tetap pastikan Bersih 3.0 akan menjadi perhimpunan mega rakyat dalam menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Seperti Bersih 9 Julai lalu, anak muda menjadi gelombang utama yang memenuhi bandar raya Kuala Lumpur biarpun kerajaan melalui pihak polis menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kemaraan rakyat. Bersih 3.0 ini sekali lagi akan menyaksikan kebangkitan anak muda bukan sekadar menjadi kompenen mobilisasi yang paling penting, tetapi juga akan menjadi benteng yang akan berada di kiri dan kanan setiap rakyat Malaysia di Dataran Merdeka pada 28 April nanti.

Tidak ada sebab untuk anak muda tidak bersama rakyat dalam himpunan 28 April ini. Pengkhiatan Suruhanjaya Pilihan Raya terhadap kepercayaan rakyat adalah suatu yang tidak dapat dimaafkan. Sedang rakyat menanti keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas  Parlimen Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya selama lima bulan, dalam masa yang sama SPR boleh membiarkan penipuan terhadap senarai daftar pemilih terus berlaku. Oleh itu tindakan Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 yang menuntut agarkan SPR meletak jawatan merupakan tindakan yang tepat.

Peningkatan daftar pemilih baru sehingga mencatat bilangan 1.2 juta pengundi baru sejak 2008 sehingga 2011 adalah sesuatu yang amat meragukan. Berdasarkan rekod, peningkatan pengundi baru pada tahun 1999 sehingga 2004 adalah seramai 700,000, dan dari tahun 2004 sehingga 2008 adalah seramai 650,000. Namun pada tahun 2008 sehingga 2011, jumlah pengundi baru meningkat mendadak sehingga 1.2 juta. Peningkatan mendadak ini sangat meragukan kerana sistem daftar pemilih di Malaysia masih mengekalkan cara lama selain saluran pendaftaran yang dipertingkatkan. Kekalutan dalam daftar pemilih ini tambah merisaukan apabila Merdeka Center dalam kajiannya menyatakan hampir 32 peratus daripada senarai daftar pemilih tidak dapat dipastikan keabsahannya.

Maka, anak muda menyifatkan inilah isu utama yang sepatutnya diselesaikan oleh Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pilihan Raya.
Keraguan rakyat terhadap ketelusan sistem pilihan raya perlu dijawab dengan jujur oleh SPR dan bukannya menyembunyikan penipuan disebalik penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen.
Atas dasar ini, saya menyeru seluruh anak muda Malaysia untuk turun dan Duduk-Bantah di dataran Merdeka pada 28 April ini. Kita ketepikan apa juga perbezaan fahaman dan bersatu  demi masa depan Malaysia yang bebas daripada penipuan dan penyelewengan pilihan raya.

Kita tuntut Kerajaan membersihkan segera senarai undi yang meragukan dan laksanakan kesemua lapan tuntutan rakyat. Saya juga katakan, anak muda Bersih 3.0 akan turun dengan penuh iltizam dan akan terus setia Duduk-Bantah bersama rakyat Malaysia sehinggalah segala tuntutan Bersih 3.0 ditunaikan.


Ahmad Syukri Che Ab Razab, anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails