Selamat Datang

Isnin, 18 Julai 2011

Pemukiman PAS rangka pendekatan hadapi PRU 13


Harakahdaily

KUALA LUMPUR 18 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan, pemukiman yang dibuat oleh PAS telah mempersiapkan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang melalui projek Roadmap to Putrajaya.

"Kita telah berbincang panjang berdasarkan kajian dan perbentangan yang dibuat dan kita gembira sekarang kerana mempunyai fokus yang jelas dalam mempersiapkan diri kita menghadapi PRU ke 13," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Wawancara itu diadakan selepas pemukiman khas yang diadakan oleh PAS selama dua hari bermula 17 Julai hingga hari ini di sebuah hotel dekat Ampang.

Ia melibatkan semua pimpinan utama PAS khasnya AJK PAS Pusat dengan dipimpin oleh Abdul Hadi sendiri.

Dalam mencapai hasrat ini, katanya, PAS akan melaksanakan dua pendekatan iaitu memulihkan demokrasi dan memecahkan kebuntuan maklumat bagi mempastikan maklumat sampai ke peringkat akar umbi.

"Pertama kini akan gunakan sepenuhnya sumber tenaga manusia yang kita ada dan kedua menggunakan sepenuhnya saluran media alternatif," kata beliau.

PAS, katanya, akan menggunakan sepenuhnya ahlinya yang berjumlah kira-kira satu juta bagi mempastikan maklumat yang hendak di sampaikan PAS sampai ke bawah.

Untuk itu, katanya, PAS akan memperkuatkan jentera di semua peringkat.

"Tentu kita memerlukan tenaga dan wang yang banyak dan yakin ahli kita dapat memberikan sumbangan sewajarnya untuk menjayakan projek ini," kata Abdul Hadi penuh yakin.

Bagi beliau, kejayaan PAS di Kelantan, Kedah dan sebelum ini di Terengganu adalah hasil kekuatan jentera PAS di negeri itu.

"Kita tidak mahu lagi menang hasil dari kelemahan musuh," katanya.

Untuk mencapai hasrat itu juga, katanya, PAS sedang menyusun langkah untuk menggunakan sepenuhnya media alternatif dengan seluas mungkin.

Berhubung dengan media, Abdul Hadi meminta orang Melayu khasnya mencontohi kekuatan media di kalangan orang Cina dan India.

"Media berbahasa Melayu tidak mengembangkan minda tetapi terikat dengan agenda pemimpin BN semata-mata. Sebab itu, isu-isu di kalangan orang Melayu tidak ke mana berbanding dengan isu-isu di kalangan orang Cina," katanya.

Beliau merujuk kepada beberapa isu yang sama di kalangan orang Cina yang sangat berkesan namun ia tidak ke mana apabila berlaku di kalangan orang Melayu.

Misalnya isu kematian Teoh Beng Hock menjadi isu besar tetapi kematian pegawai Kastam, Ahmad Sarbani yang juga jatuh dari bangunan SPRM tidak ke mana.

Begitu juga kematian Allahyarham Baharudin Ahmad tenggelam di celah asap gas pemedih mata yang ditembak ke dalam kawasan hospital Tung Shin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails