Selamat Datang

Khamis, 28 Julai 2011

Borang 11 "penyelamat" pengundi hantu


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini terus mendedahkan kepincangan sistem pilihan raya di negara ini dengan mendakwa manipulasi boleh berlaku pada Borang 11.

Menurut exconya Suhaizan Kaiat, Borang 11 merupakan borang yang membolehkan pengundi hantu untuk mengundi semasa pilihan raya.

Jelasnya, Borang 11 merupakan borang akuan akuan daripada pemilih yang mungkin mempunyai sedikit perbezaan nama atau no kad pengenalan dalam daftar pemilih yang menyebabkan beliau tidak dapat mengundi.

Bagaimanapun, ketua tempat mengundi katanya mempunyai kuasa yang besar untuk meluluskan sebarang permohonan daripada pemilih tadi dan membolehkan pemilih tadi mengundi seperti biasa.

"Di sinilah ruang manipulasi yang boleh digunakan oleh pengundi hantu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Borang 11 diperakukan oleh seksyen 20(1) dan 20(2) Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981 seperti berikut :

20 (1) Ketua tempat mengundi di mana-mana tempat mengundi boleh, menurut budi bicaranya, menghendaki mana-mana pengundi, sebelum dia diberikan suatu kertas undi, untuk memberikan apa-apa keterangan mengenai identitinya sebagaimana yang difikirkan perlu oleh ketua tempat mengundi dan untuk membuat serta menandatangani akuan yang dinyatakan dalam borang 11 dalam Jadual Pertama dan tiap-tiap akuan itu hendaklah dikecualikan daripada duti setem.

20 (2) Jika mana-mana orang tidak memberikan keterangan itu atau enggan membuat akuan itu, ketua tempat mengundi hendaklah enggan memberikan kertas undi kepadanya.


Beliau turut mengemukakan contoh situasi bagaimana manipulasi Borang 11 boleh berlaku, seperti berikut:

Pada awal pagi Sharudin Bin Hussain yang mempunyai kad pengenalan baru 660808-02-6013 mengundi di Dun Bukit Selambau, Parlimen Merbok, Kedah tanpa sebarang masalah.

Pada sebelah petang beliau mengundi di Dun Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah dengan membawa kad pengenalan yang sama namun nombor kad pengenalannya tidak sama dengan yang terdapat dalam daftar pemilih di Dun Pantai Merdeka. 4 digit nombor dihujungnya iaitu 6031 ditulis 5811 pada rekod daftar pemilih Dun Pantai Merdeka.

Maka beliau akan memberi alasan bahawa kad pengenalan lamanya sama iaitu A0509568. Oleh itu identiti Sharudin Bin Hussain dalam dafar pemilih Dun Pantai Merdeka, Parlimen Sungai Petani adalah identitinya. Beliau mengisi borang 11 dengan menyatakan bahawa nombor 4 digit dibelakangnya adalah salah iaitu bukan 5811 sebaliknya 6013 seperti dalam kad pengenalannya yang sah.

Ketua tempat mengundi dengan kuasa yang ada padanya boleh meluluskan permohonan ini. Maka Sharudin Bin Hussain boleh mengundi dua kali dalam pilihanraya tersebut.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata ruang manipulasi borang 11 tersebut sewajibnya ditutup oleh SPR bagi mengelakkan pengundian lebih daripada sekali.

"Dewan Pemuda PAS mendesak agak borang 11, seksyen 20(1) dan 20(2) digugurkan daripada Peraturan-peraturan Pilihan Raya(Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Walaupun ketua tempat mengundi mempunyai kuasa terhadap borang 11 tetapi kuasa ini sangat mudah dimanipulsi," tegasnya.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Wan Ahmad bin Wan Omar telah mengaku bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih yang sah.

Kenyataan beliau telah dikeluarkan oleh The Star bertarikh 24hb Julai 2011 di bawah tajuk ”EC: Help us purge ‘clones’ from electoral roll” yang secara tidak langsung beliau telah mengaku bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih yang sah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails