Selamat Datang

Rabu, 20 Julai 2011

Hiburan: Syabas Kedah, bagaimana dengan Melaka


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Rakyat negeri Kedah rata-ratanya menyokong tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abu Bakar yang tetap dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan secara sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, walaupun sedikit kelonggaran diberikan iaitu pusat-pusat hiburan dibenarkan beroperasi dengan syarat hanya yang bukan beragama Islam sahaja yang dibenarkan namun ianya merupakan satu langkah yang bijak daripada kerajaan negeri bagi menghormati Ramadhan, bulan yang mulia.

Katanya, dengan tertegaknya perintah larangan terhadap umat Islam di Negeri Kedah itu, sedikit sebanyak dapat membentuk masyarakat Islam bagi lebih menghayati bulan Ramadhan.

“Rakyat negeri Kedah akan lebih terdidik dengan program Ihya’ Ramadhan sambil ruang-ruang mungkar ditutup,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, dengan suasana yang ada sekarang ini yang lebih membawa ke arah gejala sosial, negeri Kedah menggunakan undang-undang sediakan ada bagi membendung kegiatan yang menjurus ke arah maksiat.

Beliau yang juga Exco Pemuda PAS Pusat berkata, walaupun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya namun sedikit sebanyak dapat membantu dalam mendidik rakyat kembali ke jalan yang benar.

Lagipun, ujarnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 diluluskan di zaman Umno BN memerintah lagi cumanya tidak dilaksanakan.

Menurutnya, umum semua mengetahui bahawa Umno BN hanyalah menggunakan agama sebagai alat untuk mengaburi mata rakyat yang mana undang-undang hanyalah digubal sedangkan perlaksanaan tidak menjurus kearah itu demi menjaga ‘hati’ parti komponen yang lain di dalam BN.

“Lihat bagaimana kerajaan negeri Melaka yang sanggup melanjutkan masa tempoh operasi pusat hiburan di negeri itu sehingga jam 3 pagi tanpa rasa bersalah dengan hanya berpaksikan kepada keuntungan duniawi semata-mata tanpa memikirkan akibat daripada keputusan ini.

“Persoalannya, siapakah yang memerintah Melaka? Mengapa perkara maksiat diberikan ruang seluas-luas sedangkan ceramah agama disekat dengan berbagai syarat?” soalnya.

Ini, katanya berbeza dengan PAS.

Beliau berkata, walaupun ianya menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pimpinan Pakatan Rakyat (PR) namun PAS tetap melaksanakan sambil penerangan diberikan kepada mereka yang tidak beragama Islam agar faham akan maksud dan tujuan sebenar berbuat demikian menyebabkan tidak lagi timbul rasa keliru di kalangan mereka.

“Inilah pentingnya memilih pemimpin yang bukan sekadar menjaga hal-hal berkaitan dunia namun ianya harus dikaitkan dengan akhirat dengan erti kata lain dunia dan akhirat ‘berjalan’ seiring bagi membentuk jati diri rakyat yang lebih mantap dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara.

“Syabas Kedah!” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails