Selamat Datang

Isnin, 11 Julai 2011

Bersih 2.0: Pemuda PAS gesa siasat polis ganas

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut agar satu siasatan dibuat kepada beberapa insiden keganasan pihak polis ketika cuba menghalang Himpunan Aman Bersih 2.0 9 Julai lepas.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, pihak polis harus mengambil tanggungjwab di atas kematian Allahyarham Baharudin Ahmad serta menjelaskan dua rakaman klip video dari Malaysiakini dan Al-Jazeera yang disebar di Youtube yang jelas membuktikan keganasan anggota polis.

Katanya, Allahyarham Baharudin Ahmad, 58, yang berada di KLCC meninggal dunia selepas terhidu asap bom pemedih mata yang ditembak oleh FRU.

Beliau menambah, bahan kimia 2-Chlorobenzalmalononitrile (CS) yang menjadi bahan utama bom berkenaan menjadi punca mangsa mengalami trauma, sesak nafas dan kegagalan fungsi jantung hingga menyebabkan kematiannya.

“31 Disember 2010 yang lalu, perkara yang sama berlaku kepada seorang wanita Palestin berumur 36 tahun, Jawaher Abu Rahmah yang mati selepas terhidu gas pemedih jenis yang sama digunakan oleh rejim Israel di Tebing Barat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Dr. Mohammed Aideh, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Kementerian Kesihatan Palestin telah mengesahkan perkara itu walaupun Israel enggan bertanggungjawab.

Kini, ujarnya perkara itu berlaku di Malaysia, dan polis mengulangi sikap Israel itu.

Justeru, katanya DPPP berharap agar satu siasatan dibuat bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.

Pemuda PAS juga, ujarnya mahu penjelasan polis berhubung klip video Malaysiakini bertajuk Police beating yang dirakamkan di Jalan Tunku Abdul Rahman yang memaparkan beberapa anggota polis berpakaian reman menumbuk, menendang, memijak serta memaki hamun seorang peserta bersih yang telah dibaringkan diatas jalan raya.

Katanya, klip Video Al-Jazeera bertajuk [BERSIH 2011] RIOT BY POLICE - Live Footage From Al-Jazeera yang dirakamkan di Jalan Pudu pula menunjukkan keganasan anggota Polis beruniform menembak gas pemedih mata dan kemudiannya meluru untuk menendang dan memukul peserta Bersih yang duduk.

Beliau berkata, beberapa insiden lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawalnya yang dipukul polis hingga tercedera, begitu juga kepada seorang lelaki lain di Pudu yang pecah kepala diserang polis serta banyak lagi bukti-bukti keganasan polis menuntut pertanggungjwaban Ketua Polis Negara dan organisasinya.

“DPPP akan memastikan isu ini menjadi kes utama untuk pihak Suhakam serta disiasat secara lebih terperinci.

“DPPP yakin rakyat mahukan jawapan di atas ketidakjujuran Ketua Polis Negara yang menutup mata dan menafikan keganasan ini,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails