Selamat Datang

Selasa, 5 Julai 2011

Kerajaan, polis dan SPR jangan angkuh


Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merafak sembah merakamkan ucapan terima kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta supaya pihak kerajaan menangani setiap permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat secara berhemah dengan berunding dan tidak mengikut perasaan sepertimana masyarakat yang bertamadun.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu menjurus kepada cadangan himpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini di Kuala Lumpur.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya pihak kerajaan, pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mematuhi saranan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar membuka semula pintu rundingan bersama Sekretariat Bersih 2.0 bagi mempastikan perjalanan program tersebut berjalan lancar dan teratur.

"Janganlah pihak kerajaan, polis dan SPR dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun hanya kerana ingin mempertahankan keangkuhan dan keserakahan nafsu mereka semata-mata," katanya Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, menurut beliau, sekali lagi mempertegaskan bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan aman rakyat menuntut pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia dan himpunan itu akan berlangsung dan berakhir dalam keadaan yang tenang dan baik.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjungi keamanan dan keharmonian dan menolak sebarang usaha provokasi untuk melakukan huru-hara ataupun kekacauan," tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kerana secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan secara berleluasa iklan-iklan fitnah dan berbaur hasutan.

Tujuan iklan-iklan itu disiarkan sememangnya jelas untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Himpunan Aman Bersih 2.0 di dalam media elektronik terutamanya RTM1 dan RTM 2.

Di dalam iklan-iklan tersebut, Himpunan Bersih 2.0 telah dimomokkan sebagai himpunan haram yang akan menyebabkan kerosakan harta benda, pertumpahan darah, huru hara, kacau bilau dan boleh menyebabkan para peniaga mengalami kerugian.

Menurut Hasbullah, sepatutnya pihak Kementerian mengeluarkan iklan yang memperjelaskan hak-hak rakyat di dalam negara yang berdaulat mengikut Perlembagaan Negara bukannya memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan iklan-iklan “sampah” untuk mempertahankan kuasa pemimpin Umno BN.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bertegas bahawa semua gambaran yang ditunjukkan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian yang menuntut supaya sistem pilihanraya di Malaysia ini dibersihkan daripada sebarang kekotoran, penipuan dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang “gila” untuk mempertahankan kuasa mereka," katanya.

Sekretariat Bersih 2.0, tegas beliau, telah meminta supaya setiap rakyat yang akan hadir ke himpunan tersebut tidak melakukan sebarang provokasi, ancaman , ugutan, vandalisme ataupun melakukan kekasaran terhadap mana-mana pihak.

"Sekretariat Bersih 2.0 juga terbuka untuk berunding dengan pihak-pihak tertentu seperti polis untuk memastikan program tersebut berjalan lancar dan teratur, bahkan meminta supaya pihak polis sendiri yang menentukan jalan yang sesuai untuk perarakan himpunan tersebut.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Kementerian Penerangan Malaysia menarik balik iklan-iklan fitnah tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kebiadapan mereka menyiarkan iklan-iklan tersebut," katanya.

Sesungguhnya wang rakyat Malaysia, katanya, sebagai pembayar cukai telah disalahgunakan oleh pemimpin Umno BN untuk kepentingan diri mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Menteri Penerangan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau orang yang bermaruah dan berintegriti," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails