Selamat Datang

Sabtu, 9 Julai 2011

Nik Aziz: Polis tindas, rakyat akan tambah benci Umno

July 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan keras pihak berkuasa ke atas penyokong gerakan Bersih 2.0, termasuk menahan pemimpin-pemimpin politik Pakatan Rakyat, hanya akan menambah kebencian rakyat terhadap Umno.

“Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambah kebencian rakyat terhadap Umno,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan dari Mekah petang ini.

Beliau berkata sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno.

“Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun?” kata beliau.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyoal “bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan?”

“Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300,000 orang dibalas dengan gari dan semburan gas?

“Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?” kata beliau lagi.

Justeru kata Nik Aziz, beliau yakin apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno.

“Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja.

“Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah s.w.t.,” katanya.

Nik Aziz menambah, “kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah s.w.t. nanti.

“Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa,” kata Nik Aziz lagi.

Dalam kenyataannya, Nik Aziz juga berkata hatinya cukup remuk apabila mendengar pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0.

“Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini.

“Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang,” katanya.

Empat pemimpin tertinggi PAS ditahan sejak tengah hari tadi.

Mereka ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails