Selamat Datang

Rabu, 13 Julai 2011

Bersih 2.0: K'jaan langgar Perkara 10 Perlembagaan

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Lapan peguam PAS dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini, petang semalam berhubung tindakan kekerasan pihak polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Mereka yang diketuai Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi membuat laporan itu sekitar jam 5.30 petang sejurus selepas penyerahan memorandum berhubung perkara yang sama kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut Ahmad Zamri, laporan yang dibuat oleh Juham itu antara lain menyentuh tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akibat melanggar undang-undang.

Perlanggaran yang dilakukan itu, pertamanya, berhubung Perkara 5 (3,) Kebebasan Diri, Perlembagaan Persekutuan yang ternyata tidak dipatuhi oleh KDN dan PDRM.

Katanya, pada hal dalam peruntukan itu telah dijelaskan, jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.

"Selain itu, kerajaan menerusi KDN dan PDRM telah melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Berpersatuan.

"Ini tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

"Di samping itu, kerajaan melalui KDN dan PDRM juga telah bertindak menyalahi Seksyen 28(A) Kanun Acara Jenayah," katanya ketika ditemui di sini.

Namun, tegasnya, dalam Perhimpunan Aman Bersih 2.0, kerajaan melalui KDN dan PDRM telah bertindak menggunakan kekerasan yang tidak munasabah dalam menyuraikan perhimpunan.

"Beberapa lokasi Perhimpunan Aman Bersih 2.0 telah dikepung pihak berkuasa PDRM yang berkelengkapan penuh seperti perisai, trak meriam air (water cannon), senapang gas pemedih mata, belantan dan gari elastik plastik," katanya.

Pihak PDRM, menurutnya, telah mengepung para peserta di hadapan Menara Maybank dan melepaskan tembakan gas pemedih mata tanpa sebarang amaran bersurai.

Katanya, para peserta yang mulanya dalam keadaan aman telah bertempiaran menyelamatkan diri daripada gas pemedih mata.

"Mereka kemudian dikejar pihak PDRM dengan trak-trak meriam air (water canon) sehingga ke Jalan Pudu berhampiran Plaza Rakyat dan Hospital Tung Sin.

"Di sini pihak PDRM telah melepaskan gas-gas pemedih mata sehingga ke dalam Hospital Tung Sin dan juga menembak air asid ke arah para peserta," katanya.

Ada peserta yang telah ditahan, jelasnya, telah diperlakukan dengan ganas. Terdapat peserta yang ditendang dan dipukul.

"Mereka juga telah diikat menggunakan sejenis gari elastik sehingga menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan.

"Mereka telah disumbat berasak-asak ke dalam trak-trak PDRM yang telah tersedia untuk mengangkut mereka ke lokasi-lokasi tahanan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

"Terdapat mangsa-mangsa tangkapan yang pengsan di dalam trak polis. Ada juga mangsa tangkapan dibiarkan di dalam trak selama dua (2) jam di lokasi tahanan di lokap Jinjang," ujarnya.

Di KL Sentral, tegasnya, laporan yang diterima oleh Bilik Gerakan Juham pada hari itu mendapati pihak berkuasa PDRM melalui Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah mengepung Kompleks Terminal KL Sentral.

"Orang awam ditahan tanpa sebarang alasan dan budibicara. Mangsa-mangsa tangkapan telah disumbat ke dalam trak-trak yang sudah bersedia mengangkut mereka ke pusat tahanan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa PDRM telah mempunyai niat dan persediaan untuk menangkap sesiapa sahaja yang berada di kawasan tersebut tanpa alasan yang munasabah dan wajar," katanya.

KL Sentral yang merupakan tempat tertutup dan hub pengangkutan awam juga, tegas beliau, telah dilemparkan, ditembak, dilepaskan gas pemedih mata.

"Keadaan kompleks yang tertutup jelas mengakibatkan ramai orang awam di dalam kompleks tersebut mengalami kesulitan dan kecederaan fizikal.

"Tembakan gas pemedih mata dihalakan terus ke arah orang-orang awam sehingga menyebabkan kecederaan. Ini jelas bertentangan dengan peraturan penyuraian perhimpunan dan peraturan penggunaan gas pemedih mata," tegasnya.

Di samping itu, jelas beliau, laporan itu juga turut menyentuh penafian akses peguam.

Tangkapan-tangkapan yang dibuat, katanya, telah ditahan di beberapa lokasi tahanan seperti di Pulapol Jalan Semarak, Lokap Berpusat Jinjang, Ibu Pejabat Gerakam Am (PGA) dan Lokap Polis Bukit Jalil.

"Mangsa-mangsa tangkapan tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan ke mana mereka akan dibawa. Pasukan peguam PAS telah bersedia di lokasi-lokasi tersebut untuk mengakses kepada tangkapan-tangkapan yang memberikan maklumat tangkapan tetapi telah dinafikan hak tersebut oleh PDRM.

"Tindakan ini jelas bertentangan dengan Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dan juga Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails