Selamat Datang

Selasa, 5 Julai 2011

MB tawar stadium Selangor untuk Bersih 2.0


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Julai: Selangor tampil negeri pertama menawarkan stadium negeri untuk digunakan penganjur himpunan Bersih 2.0 selepas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersetuju untuk diadakan di stadium.

Tawaran itu dilontarkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang ini, lapor TV Selangor.

Beliau berkata sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk kepada syarat- syarat biasa yang dikenakan kepada pihak yang mahu menggunakan premis sebegitu.

"Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid.

Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan.

"Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih.

"Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau.

Tengah hari tadi penganjur Bersih 2.0 menghadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat baginda supaya perhimpunan aman pada 9 Julai ditukar ke stadium.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails