Selamat Datang

Selasa, 26 Oktober 2010

Urus tadbir ekonomi negara pincang


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Urus tadbir kewangan negara tetap dianggap pincang walaupun kerajaan pada 2009 berjaya menyimpan baki tunai RM6.32 bilion berbanding 2008 hanya RM1.541 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, baki tunai tersebut tidak wajar dianggap sebagai suatu kejayaan kerana jumlah pinjaman tunai yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada tahun lepas sebanyak RM107.171 bilion.

Sedangkan katanya, pinjaman tunai kerajaan pada tahun 2008 hanya RM75.156 bilion.

"Maka tak ada ertilah kalau kerajaan berjaya mendapatkan kurangan (baki) RM6.32 bilion kalau pinjaman kerajaan bertambah lebih RM35 bilion (RM35.015 bilion)," ujarnya petang tadi di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kerana telus mendedahkan kelemahan di sebalik urus tadbir kewangan negara pada majlis taklimat bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pagi tadi.

"Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan segala kelemahan ini, maka perlu diambil iktibar dan ditangani serta-merta oleh kerajaan," ujarnya yang juga menganggotai PAC.

Bajet defisit 14 tahun berturut-turut

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menyelar Bajet 2011 yang menunjukkan defisit secara 14 kali berturut-turut.

Khalid sewaktu membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan idea dan tidak mampu menghasilkan bajet yang mengandungi kaedah menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara.

"Walaupun kerajaan menyebut defisit hanya 5 peratus lebih sedikit sahaja, hakikatnya peratusan itu bukan berdasarkan kepada jumlah bajet tetapi ianya berdasarkan kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 5.2 peratus atau 2 atau 3 peratus atau 4 peratus daripada KDNK, ia merupakan angka yang cukup besar," katanya.

Menurut beliau juga, berdasarkan bajet yang dibentangkan, pinjaman kerajaan menunjukkan angka yang sangat besar iaitu sebanyak RM46 bilion.

"Kalau kita lihat dalam buku ucapan Bajet 2011, kita akan melihat di muka surat yang mengadungi carta pai jumlah penjaman dan penggunaan daripada aset-aset kerajaan, ianya adalah sebanyak 22 peratus adalah daripada pinjaman.

"Jumlah pinjaman ini adalah sebanyak RM46 bilion. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan apabila kita lihat bahawa kita pun pada masa yang sama membayar hutang negara sebanyak RM18 bilion.

"Ini bermaksud kita pinjam untuk bayar pinjaman negara. Ini merupakan satu keadaan yang sangat parah kerana kalau tidak ada pinjaman RM46 bilion itu dengan cara pengurusan kewangan yang dilakukan oleh BN, kita tak akan ada duit untuk membayar pinjaman yang telah kita buat sebelum ini," jelasnya.

Tegasnya juga, kerajaan telah menunjukkan cara pengurusan kewangan yang sangat tidak bertanggungjawab apabila hutang negara melonjak melebihi RM400 bilion dalam keadaan pendapatan kerajaan dan negara semakin berkurangan.

"Hutang bertambah, peratusan wang yang kita gunakan untuk servis pinjaman semakin bertambah, pendapatan semakin menguncup," katanya lagi.

Ujarnya juga, meskipun laporan audit negara dikeluarkan pada setiap tahun, namun kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk memulihkan ekonomi negara.

"Bajet ini tidak mengambil kira masa depan anak cucu kita. Kita telah dianugerah Allah satu negara yang begitu kaya dengan hasil minyak dan sebagainya tapi kerana boros, pengurusan yang tidak cekap, penuh ketirisan, walaupun dilaporkan ketua audit negara setiap tahun, tapi tak ada kesungguhan BNuntuk mengubah keadaan ini," katanya.

Ke mana RM3 bilion untuk pengangkutan awam

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mempersoal status RM3 bilion yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan untuk membangunkan prasarana pengangkutan awam negara.

"Persoalan sekarang ini adalah RM3 bilion baki dari wang penjimatan hasil kenaikan harga minyak pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri dulu, ke mana perginya," ujarnya di lobi Parlimen yang ditujukan kepada Najib.

Ini kerana penyata Parlimen hari ini mendedahkan bahawa sebanyak RM1.436 bilion telahpun diperuntukan oleh kerajaan untuk pembangunan prasarana pengangkutan awam negara sejak tahun 2006 hingga 2009.

Penyata Dewan Rakyat menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta pada 2006 untuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengakutan Awam (JKKMPA) membangunkan prasaranan pengangkutan awam.

Pada 2007, sebanyak 569 juta diperuntukan untuk tujuan yang sama.

Manakala pada 2009, kerajaan sekali lagi memperuntukkan RM250 juta pada tahun 2009.

Turut dilaporkan, sebanyak RM567 juta telah disalurkan kepada projek-projek prasarana pengangkutan awam termasuk terminal pengangkutan, kajian pelan induk pengangkutan pengangkutan awam dan pembelian pelbagai jenis rolling stock keretapi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan suatu khabar bahawa Kementerian Pengangkutan bercadang membeli suatu model keretapi dari China yang menurutnya tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa wujud unsur penyelewengan di sebalik pengurusan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pengakutan Awam (KWAPA) di bawah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

"Banyak kali isu kereta api yang nak dibeli dari China ini dibangkitkan (seperti) tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, mungkin ini juga suatu penyelewengan yang cuba dilakukan," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails