Selamat Datang

Sabtu, 9 Oktober 2010

MP BN Batu Sapi maut nahas jalan raya

TERKINI @ 05:19:45 PM 09-10-2010
October 09, 2010

KOTA KINABALU, 9 Okt — Ahli Parlimen Batu Sapi Edmund Chong dari PBS-BN meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun yang memenangi kerusi itu tanpa cabaran pada 2004 mengekalkannya dua tahun lalu.

Chong (gambar) dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di Jalan Coastal, Tanjung Aru membabitkan kereta Mercedez kira-kira 11.40 pagi tadi.

Wakil rakyat ini meninggal dunia dua hari sebelum Parlimen dijadual bersidang.

Kematian ini turut membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-13 ketika negara bersiap sedia untuk menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan.

Pada 8 Mac 2008, Chong memperoleh 9,479 undi berbanding calon Bebas Chung Kwong Wing yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan jurutera mekanikal sebelum dipilih sebagai wakil rakyat enam tahun lalu.

Mendiang yang beristerikan Linda Tsen Thau Lin mempunyai empat anak dan beliau juga bendahari agung PBS dan ketua bahagian Elopura.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan pemergian Edmund sebagai kehilangan besar untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang dedikasi dan komited terhadap tanggugjawabnya sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth, dekat sini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri berkata beliau dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan juga PBS atas pemergian itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang turut berada di situ, berkata “kehilangannya adalah amat menyedihkan bagi negeri dan negara terutama PBS. Beliau juga kawan rapat saya.”

“Ia adalah peristiwa yang tidak pernah terlintas di fikiran saya akan berlaku, saya sentiasa berdoa sepanjang masa, agar perkara seperti ini tidak berlaku.

“Datuk Edmund Chong sebagai seorang Ahli Parlimen dan bendahari agung parti, sentiasa meberi perhatian terhadap mengenai masa depan negara dan negeri... (jika masih hidup), beliau sudah pasti akan memberikan khidmat yang baik kepada negara,” katanya.

Katanya kali terakhir mereka berjumpa adalah semasa hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

“Kita masih menyiasat. Siasatan awal mendapati ada berlaku pertembungan sebab bahagian kanan kenderaan Mercedez kemek, dipercayai bertembung. Tapi siapa langgar siapa, kita masih siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Sofi menambah pemandu kenderaan Mercedez itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails