Selamat Datang

Jumaat, 15 Oktober 2010

Penilaian Tahap Kecekapan staf awam dimansuh


October 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini turut menawarkan pelbagai imbuhan untuk penjawat awam, termasuk Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia sebagai menghargai sumbangan 1.2 juta penjawat awam seluruh negara yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan, serta dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha.

Beliau berkata bantuan khas kewangan tersebut diberikan bagi meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah, dengan pembayaran akan dibuat pada Disember ini.

“Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan,” katanya.

Najib berkata satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam akan menggantikan sistem PTK yang akan dimansuhkan menjelang Jun tahun depan.

Beliau berkata langkah itu diambil selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh, selain mengambil kira maklum balas penjawat awam.

Najib berkata kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini, termasuk dipanjangkan kepada pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah sekarang.

Beliau berkata perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Dis ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi, manakala kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru.

Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat-syarat membuat pinjaman perumahan, Najib berkata kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Jan 2011.

Beliau berkata kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 pada masa ini bagi Kumpulan Sokongan Dua.

“Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha mempermudah urusan sektor swasta dengan agensi kerajaan, Najib berkata inisiatif MyCoID Gateway, yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan akan diperluaskan ke agensi dan kementerian lain.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan sistem pemarkahan untuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR), yang kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini.

Dengan sistem tersebut, permohonan PR akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas.

Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 telah dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri, dengan masa pendaftaran satu hari sahaja berbanding 30 hari sebelum ini. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails